PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Sunday, February 12, 2012

Kelahiran Rasulullah S.A.W Penyelamat Golongan Wanita

Dalam kehidupan zaman Jahiliyyah, golongan wanita dan kanak-kanak perempuan tidak ada tempat dalam kehidupan masyarakat Arab ketika itu.

Mereka dianggap golongan kasta atau kelas kedua atau ketiga, mereka dianggap barangan yang tiada nilai, ia boleh ditungganggi pada bila-bila masa dan boleh ditimbus pada bila-bila masa, mereka dianggap pembawa mala petaka kepada keluarga, justeru, mereka boleh dihapuskan dari muka bumi ini.


Golongan wanita dikenali sebagai pembawa penyakit HIV iaitu satu sindrom virus pada ketika itu kerana terlibat dalam pelacuran di luar kawalan, walau apapun mereka diperlukan oleh golongan lelaki bagi memuaskan nafsu serakahnya selepas selesai aktiviti harian mereka dalam pelbagi sektor.


Majoriti golongan wanita begitu, melainkan Aminah R.A, bonda kepada Nabi Muhammad S.A.W yang dipelihara oleh Allah S.W.T dari segala sifat kekurangan dan kedurjanaan, ini kerana Allah S.W.T tidak izinkan Baginda lahir dari seorang wanita bermasalah yang boleh menimbulkan masalah kepada Baginda ketika hendak menyampaikan risalah Islam, malah dipertikaikan pula oleh masyarakat manusia di sekelilingnya, apatah lagi Baginda membawa satu ajaran agama yang menjadi asing buat mereka.


Kedudukan wanita dan lelaki adalah sama di dalam Islam

Dengan termeterainya kerasulan Nabi Muhammad S.A.W, Baginda telah menyamakan mereka dalam segenap tindakan dalam amal ibadah, penerimaan pahala, keimanan kepada Allah S.W.T adalah sama antara lelaki dan wanita, malah jika terdapat di kalangan wanita yang lebih baik amal ibadah serta ketaqwaannya kepada Allah S.W.T, mereka adalah lebih mulia, kerana janji Allah S.W.T di dalam Al-Quran bahawa sesungguhnya mereka yang terbaik adalah yang paling bertaqwa di sisi Allah S.W.T.

Walau bagaimanapun dalam bab jihad pula, golongan wanita tidak perlu mengangkat senjata untuk mati syahid di medan pertempuran menentang musuh Islam, cukup dengan membenar atau mengizinkan para suami mereka untuk berjihad dan mereka melaksanakan tuntutan sebagai muslimah sejati dengan tanggungjawab rutin sebagai hamba Allah S.W.T, isteri atau ibu kepada anak-anak di rumah serta memelihara harga diri dengan baik.

Perbezaan mereka hanya pada sudut penutupan aurat, cara pemakaian, iaitu wanita dibenarkan memakai emas dan sutera sesuai dangan fitrah mereka, sementara orang lelaki diharamkan memakai kedua-dua bahan tersebut kerana tidak sesuai dengan cara, fitrah serta penemapilan mereka yang gagah dan berani.

Jihad seorang Wanita

Apabila disebut perkataan 'jihad', apakah yang terlintas di dalam fikiran kita? Serta-merta tergambar kesungguhan berkorban yang akan menimbulkan semangat berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir! Semangat ini memang baik dan perlu dipupuk bertepatan dengan ketetapan Islam serta kehendak Allah S.W.T.

Hakikat Jihad

Definisi JIHAD menurut syara' ialah seorang muslim menyerahkan tenaganya untuk mempertahan dan menyebarkan Islam bagi mencapai keredhaan Allah S.W.T. Dari situ nanti akan terbentuk sebuah masyarakat Islam dan seterusnya akan terbina negara Islam yang sihat. Jihad mesti berterusan hingga ke hari qiamat. Martabat jihad yang paling rendah ialah jihad di dalam hati dan yang paling tinggi ialah berperang di atas jalan Allah S.W.T. Mengorbankan waktu, harta dan kepentingan diri sendiri demi kebaikan Islam serta ummatnya juga dikira sebagai jihad. Begitu juga dengan menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran serta memperjelaskan hakikat keEsaaan Allah S.W.T juga merupakan sebahagian daripada jihad.

Bagimanakah kedudukan wanita dalam jihad?

Jawapan kepada persoalan ini mesti benar-benar difahami supaya sumbangan kita di dalam jihad akan menguntungkan Islam. Oleh itu, kita perlu menyingkap kembali lembaran sejarah Rasulullah S.A.W untuk mengambil iktibar tentang persoalan jihad bagi kaum wanita.

Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan At-Tabrani, pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa' (wanita yang pintar berpidato) datang menemui Rasulullah S.A.W lalu berkata:

"Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah S.W.T ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu?"

Bersabda Rasulullah S.A.W:

"Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi adalah sangat sedikit sekali daripada golongan kamu yang dapat melakukan demikian."

Pada ketika yang lain, Rasulullah S.A.W pernah ditanya:

"Wahai Rasulullah, perempuan manakah yang baik?"

Baginda S.A.W menjawab:

"Perempuan yang menggembirakan suaminya apabila si suami memandangnya, mentaati suami apabila diperintah dan tidak menyalahi suaminya baik mengenai diri peribadinya, harta kekayaannya atau dengan apa yang dibenci oleh suaminya."

Pada dasarnya, kaum wanita disamakan dengan kaum lelaki dalam tanggungjawab agama sama ada mengenai aqidah, ibadah dan muamalah, kecuali tanggungjawab yang khusus yang sesuai dengan fitrah (nature) kaum wanita. Begitu juga dengan tanggungjawab jihad yang diwajibkan kepada kaum lelaki tidak diwajibkan kepada kaum wanita. Seandainya kaum wanita berupaya pergi bersama-sama kaum lelaki ke medan pertempuran, tidaklah ditolak oleh Islam. Bagaimanapun tugas ini hanya dianggap sebagai sumbangan tambahan.

Kita perlu jelas jihad yang paling utama dan dituntut kepada setiap wanita ialah taat kepada suami dan mengakui hak suami, manakala jihad di luar rumah adalah sumbangan tambahan bagi mereka yang berbuat demikian.

Mudah-mudahan kita sama-sama dapat merenung bagaimana ajaran Baginda Rasulullah S.A.W yang cukup relevan di setiap masa, tempat dan kedudukan manusia di sepanjang zaman untuk dilaksanakan sebagai cara hidup yang gemilang.

-ibnumustafa-

Tuesday, February 7, 2012

Rasulullah S.A.W Penyelamat Aqidah Ummah

Suasana masyarakat di zaman jahiliah begitu muram dan suram, kerana diselubungi dengan pelbagai bentuk kedurjanaan akibat tindakan manusia yang cenderung kepada kejahatan, penyelewengan, kezaliman, penindasan dan bermacam-macam lagi yang boleh disifatkan sebagai ketidakperikemanusiaan.

Ia berlaku kerana manusia pada ketika itu, telah hilang punca sebenar kebenaran, golongan wanita dianggap alat tunggangan lelaki bila perlu untuk ditunggangi, para wanita serta anak-anak gadis tidak ada tempat dalam masyarakat, malah tiada nilai sedikit pun pada sisi orang lelaki, anak-anak perempuan ditanam hidup-hidup kerana mereka dianggap pembawa sial kepada kedua ibu dan bapa.

Penyembahan berhala serta patung-patung hasil ciptaan tangan manusia mendapat tempat di hati masyarakat pada masa itu, pokoknya kehidupan mereka jauh dari suasana damai, aman, tenang dan meyakinkan.

Justeru, bagi menyelamatkan mereka dari terus bergeluman dan tenggalam dengan amalan-amalan yang songsang lagi syirik sisi Allah S.W.T, maka Allah S.W.T tidak terus membiarkan hamba-hamba-Nya sedemikian rupa, maka diutusnya seorang Rasul terakhir bagi menyelamatkan pegangan dan aqidah mereka supaya hati mereka lurus hanya untuk Allah S.W.T.

Sehubungan itu, Allah S.W.T menjelaskan menerusi ayat 9; Surah As-Sof maksudnya :

"Dia (Allah) telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa hidayah dan agama yang benar (Islam), agar ia dapat mengalahkan agama-agama yang ada seluruhnya, walaupun tindakan itu dibenci oleh orang-orang Kafir."

Jelas ayat di atas menunjukkan, bahawa Allah S.W.T mengutus Nabi Muhammad S.A.W adalah untuk membawa agama Islam ke bumi bagi menyelamatkan manusia seluruhnya dari terus berada dalam kesyirikan kepada Allah S.W.T.

Tetapi kenapa mesti di Makkah?

Menurut ulama Sirah, Allah S.W.T memilih Makkah kerana ia betul-betul berada di tengah bola dunia (globe), ia memudahkan proses penyampaian agama Islam ke seluruh dunia, kerana dari Makkah mempunyai jalan mudah untuk sampai ke Eropah timur melalui Syria, Turki dan seterusnya Bulgaria, di sebelah Barat pula melalui Mesir, Libya, Tunisia, Algeria dan Maghribi untuk ke Sepanyol dan negara-negara Afrika, sementara melalui Yemen pula adalah jalan untuk menuju ke negara-negara Asia.

Demikianlah hikmah Allah S.W.T memilih Makkah di kalangan bangsa Arab untuk tujuan penyebaran Islam, selain penentangan Bani Israel terhadap Nabi-Nabi mereka.

Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah S.A.W adalah untuk menyelamatkan manusia sesuai dengan sifat namanya Islam iaitu penyelamat, ia adalah untuk menyelamatkan manusia sejagat dari melakukan kezaliman, penindasan dan pelbagai tindakan kedurjanaan, agar mereka berlaku adil, sopan, bermaruah walaupun ia tidak disukai oleh golongan yang menentang Allah S.W.T, suasana seumpama ini akan terus berlangsung sampai ke hari kiamat selagi mana manusia masih tidak tunduk kepada Tuhan mereka yang benar iaitu Allah S.W.T.

-ibnumustafa-

Monday, February 6, 2012

Kelahiran Rasulullah S.A.W Mengangkat Martabat Para Ulama'

Tidak ada manusia di dunia ini yang mampu untuk mencari jalan bagi mengangkat kedudukan Para Ulama' melainkan Baginda Rasulullah S.A.W, justeru kelahiran Baginda benar-benar memberi ruang dan peluang kepada golongan Ulama' untuk melangsungkan tugas, peranan dan tanggungjawab yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Ini kerana dalam sebuah hadith Baginda S.A.W ada menegaskan bahawa: "Akan datang satu masa kepada orang ramai, di mana mereka menjauhkan diri daripada Para Ulama' dan golongan Fuqaha' (ilmuan dalam ilmu fiqh), maka Allah S.W.T akan menimpakan ke atas mereka dengan tiga bala:

1- Allah S.W.T akan mengangkat dari diri mereka keberkatan dalam segenap usaha yang dilakukan.
2- Allah S.W.T akan menghukum mereka dengan wujudnya pemerintah yang zalim.
3- Mereka akan meninggalkan dunia ini tanpa membawa walau secebis iman dalam diri mereka."

Hadith di atas dengan jelas menunjukkan bahawa Para Ulama' mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah S.W.T, malah dalam satu hadith yang lain, Baginda S.A.W menegaskan: "Para Ulama' itu adalah pewaris Nabi-Nabi."

Al-Quran juga ada menegaskan, bahawa Ulama' adalah golongan yang paling takut di sisi Allah S.W.T, mereka takut kerana bersebab:

1- Takut jika tidak menjalankan tanggungjawab menyedarkan masyarakat ke jalan kebenaran.
2- Takut jika Islam tidak tersebar secara meluas di kalangan umat manusia sejagat.
3- Takut jika masyarakat mencari selain Islam sebagai pegangan dan kepercayaan mereka.
4- Takut untuk dihumban ke dalam api neraka, justeru mereka sentiasa berwaspada.
5- Takut apabila tidak menyampaikan yang hak dan menyokong yang bathil.
6- Takut apabila tidak menyuruh yang baik (ma'ruf) dan tidak mencegah yang mungkar.
7- Takut apabila ada di kalangan orang Islam yang mati dalam agama selain Islam.

Justeru, Ulama' diseru agar sentiasa peka dalam mengemas-kinikan pengisian agar mudah diterima ole semua golongan manusia, yang muda, tua, bukan Islam dan sebagainya, kerana Islam adalah hak milik bersama dan bukan khusus buat golongan tertentu sahaja.

-ibnumustafa-

Sunday, February 5, 2012

Maulid Nabi S.A.W Suatu Nikmat Anugerah Allah S.W.T Kepada Kita

Syeikh Prof Dr Yusuf al Qaradhawi dalam satu laman khas beliau pernah berkata:

"Ada beberapa kalangan orang Islam yang menganggap apa sahaja keraian dan peringatan yang berkaitan dengan apa-apa program hari kebesaran Islam seperti hijrah Nabi, maulid, Isra' Mi'raj dan lain-lain sebagai bid'ah. Ini tidaklah benar secara mutlak."

Apa yang kita tolak ialah sambutan keraian yang disertakan dengan acara-acara yang batil, haram dan maksiat. Tapi kalau ia tidak mengandungi acara acara lagha seperti itu tetapi sebaliknya mengandungi acara yang berfaedah maka tentulah ia suatu yang harus .

Apabila kita bercakap mengenai maulid - umpamanya - kita mengingatkan orang ramai tentang nikmat Allah kerana menganugerahkan seorang Rasul kepada kita. Manakala mengingati nikmat ini suatu yang disuruh, Allah berrfirman dalam surah al-Ahzab; ayat 9-10 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, kenangilah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. semasa kamu diserang oleh tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang untuk memporak-perandakan mereka) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.

Iaitu ketika tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan dalam masa yang sama pemandangan mata kamu tidak keruan (kerana gempar dan bingung) manakala hatikamu pula di puncak kegelisahan , dan kamu ketika itu menyangka terhadap Allah dengan berbagai sangkaan (yang bukan-bukan)."

Sebenarnya agama Islam bukan hanya mengandungi acara kera'ian tapi lebih jauh mengandungi berbagai kegiatan dan lapangan hidup. Kalau kita merujuk al-Quran sahaja pun kita dapati ayat ayat Makki yang kebanyakkannya pendek-pendek - menurut Dr Wahbah al Zuhaili - mengandungi matlamat untuk :

  • Membetulkan akidah dan akhlak
  • Mengencam syirik dan penyembahan berrhala
  • Menegaskan akidah tauhid
  • Menghapuskan saki-baki kesan jahiliah seperti membunuh , bezina dan menanam anak perempuan hidup-hidup.
  • Membentuk masyarakat dengan adab dan akhlak Islam seperti adil, menepati janji, ihsan, tolong menolong dalam kebaikan, tidak membantu melakukan kemungkaran, melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.
  • Menggunakan akal dan fikiran
  • Menolak syak-wasangka dan taqlid buta
  • Membebaskan manusia
  • Mengambil iktibar atau pengajaran daripada sejarah para nabi bersama kaum mereka.

Menakala ayat ayat Madani pula kebanyakkannya panjang-panjang ; diturunkan untuk:

  • Menjelaskan perundangan, hukum hakam, ibadat, mu'amalat hukuman jenayah dan tuntutan hidup Baru dalam pembentukan sebuah masyarakat Islam di Madinah.
  • Mengatur hal ehwal politik dan pemerintahan.
  • Memantapkan prinsip syura dan keadilan ketika menentukan hukum.
  • Menyusun perhubungan antara umat Islam dan bukan Islam, di dalam negara ataupun di luar negara, ketika damai mahupun dalam waktu perang.
  • Mensyariatkan hukum jihad untuk menyelamatkan diri daripada penganiayaan, permusuhan, pengusiran dan sebagainya.
  • Meletakkan garis panduan dan kaedah mengikat perjanjian untuk mengukuhkan perdamaian, keamanan dan kesejahteraan.

Kalaulah demikian luasnya ajaran Islam maka umat Islam perlu berusaha menghayatinya sedaya yang mampu.

Mereka tidak boleh tersesat dengan fatwa songsang yang mengatakan bahawa menghubungkan politik dengan agama adalah bertentangan dengan pandangan ahli sunnah wal jamaah. Jelas kejahilan dan kebatilan fatwa ini yang akan diuar-uar dan hebohkan oleh media apabila rakyat menghampiri pilihan raya umum kelak.

Mengenai apakah orang yang menerima Islam hanya sebagai keraian boleh menjawab soalan Munkar Nakir di di alam kubur dan pertanyaan di padang mahsyar maka jawabannya jelas bahawa mereka tentu tidak akan dapat menjawab sebagaimana mestinya. Mereka pasti akan disiksa dan dihukum kerana mengabaikan aspek-aspek yang tidak mereka laksanakan ketika mereka hidup di dunia.

-ibnumustafa-