PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Friday, July 15, 2011

Nisfu Sya'aban: Amalan Setahun Diangkat Untuk Diaudit

Assalamu'alaikum Wrt. Wbt..

Nisfu Sya'aban akan tiba lagi pada hari ini sebaik saja masuknya waktu maghrib..

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil saat keemasan ini untuk menutup catatan amal ibadah kita kpd Allah S.W.T dengan baik dan sempurna dan seterusnya berazam untuk memperbaiki diri kita untuk catatan yang baru.




Sebagaimana yang telah kita ketahui apabila tibanya malam 15 Sya’aban, ramai yang akan ke masjid untuk solat jemaah dan membaca Yaasin sebanyak 3 kali. Tetapi tahukah kita dari mana amalan itu berasal? Sedangkan kita tahu, bahawa sesuatu ibadah khusus yang dilakukan jika tiada amalan atau dalil dari Nabi Muhammad S.A.W maka dikira bid’ah. Persoalannya mengapa perlu dilakukan sebanyak 3 kali dan dikhususkan pada malam tersebut? Sedangkan bacaan Yaasin boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak terhad kepada berapa kali.


Seperti yang selalu saya lihat, bacaan Yaasin yang dibuat sebanyak 3 kali itu dilakukan dengan pantas dan terkejar-kejar. Mungkin ianya sesuai dengan orang yang sudah mahir membaca Qasar, tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak mahir dengan bacaan Qasar lebih-lebih lagi bagi yang tidak mahir membaca Al-Quran bertajwid. Tidakkah itu sudah menjadi tunggang-langgang dan tidak berlaku dalam keadaan yang tenang. Apakah bagus membaca Al-Quran dalam keadaan tergesa-gesa dan salah tajwidnya? Apakah hikmah di sebalik tergesa-gesa dan tidak faham apa yang dibaca itu?


Sebenarnya tiada hadith yang sahih yang memberitahu tentang bacaan Yaasin 3 kali pada malam Nisfu Sya'aban ini dan jika ada pun, ianya adalah hadith berkenaan kelebihan malam Nisfu Sya'aban yang dhaif dan juga terdapat dalam hadith maudhu’ (palsu). Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat hadith dhaif boleh dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan. Tetapi tidak sekali-kali dengan hadith maudhu’. Ingat, hadith maudhu’ maknanya hadith PALSU, dan hadith PALSU hanyalah hadith yang direka-reka oleh golongan tertentu. Dengan kerana itu, adalah penting agar kita berhati-hati dalam memahami martabat sesuatu hadith itu.


Namun, dalam soal bacaan Yaasin sebanyak 3 kali dalam Nisfu Sya'aban tetap tidak ada hadith yang sahih berkenaannya dan amalan tersebut tiada ditunjukkan contoh langsung oleh Nabi S.A.W dan sahabat. Maka mengapa kita sekarang ini mengadakan majlis tersebut di masjid-masjid apabila tibanya malam Nisfu Sya'aban sahaja? Mengapa perlu menetapkan malam itu untuk membaca Yaasin 3 kali dan berduyun-duyun menuju ke masjid sedangkan malam lain tidak? Itu yang perlu diperhati bersama.


Dan saya tidak berani mengatakan amalan tersebut haram. tetapi kita perlu ingat, amalan ibadah khusus yang bukannya berasal dari Nabi S.A.W sudah dikira bid’ah dan dibimbangi amalan itu akan menjadi penat dan lelah semata-mata kerana tidak berasas atau menambah dosa sahaja. Tetapi menurut fatwa dari Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, amalan itu dikira bid’ah dan penjelasannya ada saya sertakan di bawah nanti.


Maka sebaiknya adalah kita lakukan sahaja amalan membaca Yaasin atau apa-apa sahaja bacaan Al-Quran, tanpa perlu dikhususkan 3 kali dan seumpamanya. Dan yang penting, bacaan itu biarlah TERTIB, TENANG dan memberi keinsafan kepada kita dan bukannya semata-mata mahu mengejar pahala sehingga membaca Al-Quran dengan tergopoh dan salah tajwid dan mengatakan sepatutnya melakukan bacaan Yaasin 3 kali itu.


Pengertian Nisfu Sya'aban


Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Sya'aban bererti setengah bulan Sya'aban. Malam Nisfu Sya'aban adalah malam 15 Sya'aban iaitu siangnya 14hb Sya'aban.


Malam Nisfu Sya'aban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadr. Saidatina Aisyah R.A meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi R.A:
Rasulullah S.A.W telah bangun pada malam (Nisfu Sya'aban) dan bersolat dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda S.A.W dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda S.A.W berkata dalam sujudnya: Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”

Setelah Baginda S.A.W selesai bersolat, Baginda S.A.W berkata kepada Saidatina Aisyah R.A: “Malam ini adalan malam Nisfu Sya'aban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambaNya pada malam Nisfu Sya'aban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”
 

Nisfu Sya’aban adalah hari di mana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatat di buku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuknya waktu Maghrib, (15 Sya’aban yang siang sebelumnya 14hb Sya’aban).

Fatwa Tentang Merayakan Malam Nisfu Sya'aban


Bacaan Yaasin


Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam Nisfu Sya'aban (15hb Sya'aban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yaasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti, selepas bacaan Yaasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yaasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yaasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.


Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Sya'aban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masa kini tentang sahih batilnya amalan ini.


Kita beramal dan beribadah adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan. Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah S.A.W atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari Al-Quran dan As-Sunnah. Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bid'ah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.


Kita boleh membaca surah Yaasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam Nisfu Sya'aban dan dengan bilangan 3 kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah S.W.T untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yaasin di malam Nisfu Sya'aban. Dan kita boleh membaca surah Yaasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah S.W.T.


Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bid'ah di malam Nisfu Sya'aban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yaasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yaasin dan doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak amalan bid'ah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan penduduk nusantara ini.


‘Solat Sunat’ Nisfu Sya'aban


Firman Allah S.W.T (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” - Surah Al-Maa’idah; ayat 3.

“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?” - Surah Asy-Syura; ayat 21.


Dalam kitab as-Sahihain diriwayatkan daripada Saidatina 'Aisyah R.A bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda: “Barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.”


Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir R.A, Nabi S.A.W bersabda dalam khutbah Baginda: “Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya. Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur’an dan hadith yang seumpamanya.


Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah S.W.T telah menyempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda S.A.W selesai menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda S.A.W telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda S.A.W, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.


Para Sahabat Nabi S.A.W tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh Bin Waddah, At-Tartushi, Bin Shamah dan lain-lain.


Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Sya'aban (Nisfu Sya'aban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadith dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadith-hadith diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena Nisfu Sya'aban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.


Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut Nisfu Sya'aban adalah bid’ah, dan hadith-hadith tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadith-hadith dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi sambutan Nisfu Sya'aban, oleh itu hadith-hadith dha`if tersebut tidak dapat digunapakai.


Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah Rahimahullah. Para alim ulama Rahimahumullah telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah S.W.T dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Al-Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.


Sebagaimana Firman Allah S.W.T (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” - Surah An-Nisa’; ayat 59.


“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).” - Surah Ash-Shura; ayat 10.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” - Surah Ali ‘Imran; ayat 31.


“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” - Surah An-Nisa’; ayat 65.


Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada Al-Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” - Surah An-Nisa’; ayat 59.


Al-Hafiz bin Rejab R.A menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di kalangan penduduk Syam, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…


Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi S.A.W ataupun daripada Para Sahabat Baginda…”


Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab R.A. Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah S.A.W mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda R.A mengenai Malam Nisfu Sya'aban (pertengahan bulan Sya'aban).


Dalam keadaan di mana tidak ada bukti shar’ie bahawa apa-apa perkara itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi Umat Islam untuk mereka-reka perkara baru dalam agama Allah S.W.T, tidak kiralah ianya amalan perseorangan ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah S.A.W: “Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar menjauhinya.


Imam Abu Bakr al-Tartushi R.A menyebut dalam kitabnya al-Hawadith wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada Malam Nisfu Sya'aban, tidak ada juga yang memberi perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi mengatakan bahawa pahala di Malam Nisfu Sya'aban adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab; Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita.”


Al-Shaukani R.A berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi: Wahai Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di Malam Nisfu Sya'aban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [Surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadith ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa hadith ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadith ini adalah majhul (tidak dikenali). Hadith ini juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka dan kesemua perawinya adalah majhul (tidak diketahui asal-usulnya).


Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Sya'aban adalah hadith palsu, dan hadith Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “Apabila tiba malam pertengahan Sya'aban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang harinya.” – adalah dhaif (lemah).


Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di pertengahan Sya'aban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap rakaat.. (hadith ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah maudhu’.

Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadith palsu ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan Sya'aban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka.”


Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Sya'aban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah S.A.W.”


Imam an-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan Isya' pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan solat sunat Malam Nisfu Sya'aban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadith-hadith yang disebutkan dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa solat ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”


Sheikh al-Imam Abu Muhammad Abd al-Rahman bin Ismail al-Maqdisi telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang membuktikan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa beliau sangatlah besar. Alim ulama telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar, dan sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan tersebut untuk dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang sangat panjang. Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda yang mencari kebenaran.


Daripada ayat-ayat al-Qur’an, Hadith-hadith dan pendapat ulama yang dipetik di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan bulan Sya'aban dengan cara bersolat di malamnya atau dengan mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan puasa pada hari tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh jumhur ulama. Amalan tersebut tiada asas dalam syariat Islam yang tulin; bahkan ianya hanyalah salah satu perkara yang diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman Sahabat R.A.


Amat memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah S.W.T: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu…” - Surah al-Ma’idah 5:3; dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan sabda Nabi S.A.W: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima.” dan beberapa hadith yang serupa.


Dalam Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurarah R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda: Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk bersolat malam dan janganlah khususkan siang hari Jumaat untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah sebahagian daripada puasa-puasa yang kamu amalkan berterusan-berterusan.”


Seandainya dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk amalan ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang paling sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling baik bermula terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadith Sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W. Memandangkan Nabi Muhammad S.A.W sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya dikhususkan malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadah, kecuali di mana terdapat nas yang Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.


Oleh kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam Lailatul-Qadr dan malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat, Rasulullah S.A.W memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya bersolat malam sepanjang tempoh tersebut. Baginda S.A.W sendiri melaksanakannya, sebagaimana disebut dalam as-Sahihain, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadhan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul Qadr dengan bersolat (sunat) disebabkan iman dan mencari pahala, Allah akan mengampunkan kesemua dosanya yang telah lalu.”


Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk mengkhususkan malam pertengahan bulan Sya'aban, atau malam Jumaat pertama di bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya ataupun dengan melakukan amalan ibadah yang khusus, maka sudah tentu Rasulullah S.A.W telah mengajar umatnya melakukannya, dan Baginda S.A.W sendiri melakukannya. Jika pernah berlaku sedemikian, para Sahabat Baginda R.A pasti akan memperturunkan amalan-amalan tersebut kepada umat terkemudian; tidak mungkin mereka menyembunyikan amalan daripada umat terkemudian, kerana mereka adalah generasi yang terbaik dan yang paling amanah selepas Rasulullah S.A.W, Radhiallahu anhum, dan semoga Allah merahmati kesemua sahabat Rasulullah S.A.W.


Sekarang kita telah membaca sendiri kata-kata ulama yang dipetik di atas bahawa tidak ada riwayat daripada Rasulullah S.A.W mahupun Para Sahabat R.A berkenaan kelebihan malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam pertengahan bulan Sya'aban. Maka kita tahu bahawa menyambut hari tersebut adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke dalam Islam, dan mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan ibadah tertentu adalah bid’ah yang tercela.


Samalah juga dengan sambutan malam ke dua puluh tujuh bulan Rejab, yang mana disangkakan oleh sesetengah orang sebagai malam Isra’ dan Mi’raj; tidak dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk amalan tertentu, atau meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang dipetik di atas. Ini sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah diketahui, maka bagaimana sekiranya pandangan ulama yang benar adalah tarikh sebanar Isra’ and Mi’raj tidak diketahui! Pandangan yang mengatakan ianya berlaku pada malam ke dua puluh tujuh di bulan Rejab adalah riwayat yang palsu yang tiada asas dalam hadis-hadis sahih. Baik sekiranya seseorang itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang mengikut jalan para salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang diada-adakan.”


Kita memohon agar Allah membantu kita dan seluruh umat Islam untuk berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Semoga Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita Muhammad S.A.W, serta kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat Baginda S.A.W.

Wallahu'alam..

-ibnumustafa-

Monday, July 4, 2011

Tarikh sebenar berlaku Israk dan Mikraj

Melalui tinjauan sejarah waktu, tarikh terjadinya Israk dan Mikraj masih diperdebatkan oleh para ulama'. Bukan sahaja tarikh/harinya, berkenaan bulannya juga masih diperselisihkan sehingga kini. Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani Rahimahullah telah memaparkan perselisihan tersebut di dalam kitabnya, Fathul Bari, 7/203 sehingga mencapai lebih dari sepuluh pendapat. Ada yang berpendapat bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada bulan Ramadhan, Syawwal, Rabi’ul Awwal, Rabi’ul Akhir dan seterusnya. (Lihat: Abu Ubaidah Yusuf As-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 62, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’ban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)

Al-Imam Ibnu Katsir Rahimahullah menyebutkan dari Az-Zuhri dan Urwah bahawa Israk dan Mikraj berlaku setahun sebelum Nabi S.A.W berhijrah ke Kota Madinah, iaitu bulan Rabi’ul Awwal. Ada pun pendapat As-Suddi, waktunya adalah enam belas bulan sebelum hijrah, iaitu bulan Dzulqa’edah. Al-Hafiz Abdul Ghani As-Surur Al-Maqdisi membawakan dalam sirahnya hadith yang tidak sahih sanadnya tentang waktu Israk dan Mikraj pada tanggal 27 Rejab. Dan sebahagian manusia menyangka bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada malam Jumaat pertama bulan Rejab, iaitu malam Raghaib, iaitu yang ditunaikan pada waktu tersebut sebuah solat yang masyhur tetapi tidak ada asalnya. (Al-Bidayah wan Nihayah, 3/108-109, Cet. Maktabah al-Ma’arif. Lihat: Abu Ubaidah Yusuf as-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 62, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’ban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)


Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah Rahimahullah berkata:


Tidak ada dalil yang sahih yang menetapkan bulan atau pun tarikhnya, seluruh nukilan tersebut munqathi’ (terputus) dan berbeza-beza. (Ibnul Qayyim, Za’adul Ma’ad, 1/57. Lihat: Abu Ubaidah Yusuf as-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 62, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’ban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)


Imam Abu Syamah Rahimahullah menegaskan:


Sebahagian tukang cerita menyebutkan bahawa Israk dan Mikraj berlaku pada bulan Rejab. Perkara tersebut menurut ahli hadith merupakan kedustaan yang amat nyata. (Al-Ba’its ‘ala Inkar Bida’ wal Hawadith, m/s. 171. Lihat: Abu Ubaidah Yusuf As-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 63, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’aban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)


Kesimpulannya:


Tiada tarikh tertentu yang muktamad bila terjadinya Israk dan Mikraj. Dengan itu, tarikh berlakunya Israk dan Mikraj adalah tidak diketahui dan masih diperbahaskan hingga ke hari ini..


Wallahu'alam~

-ibnumustafa-