PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Friday, September 26, 2008

Musuh cari ruang, kesempatan sekat Islam

Kewujudan musuh Islam di muka bumi ini bukanlah satu perkara baru. Ia telah bertapak dan berakar umbi sejak ratusan ribu tahun lalu sejak iblis dan syaitan mengisytiharkan penentangan mereka secara terbuka terhadap makhluk bernama manusia iaitu Nabi Adam a.s. walaupun ia adalah perintah daripada Allah yang mesti ditunaikan.

Namun keengganan makhluk perosak itu untuk tunduk kepada Adam walaupun ia perintah Allah SWT telah tercatat dalam buku sejarah sebagai permulaan episod siri penentangan dan pertembungan antara hak dan batil di muka bumi ini.

Apabila dunia semakin bertamadun, canggih dalam penemuan ilmu Sains dan Teknologi, bentuk penentangan juga menerima perubahan yang ketara. Ia tidak serupa penentangan yang pernah ditunjukkan oleh iblis ketika menentang Allah, tetapi bentuknya semakin berubah dari semasa ke semasa, yang penting penentangan itu dibuat bagi memastikan agar kekuatan Islam terhalang.

Penentangan dibuat adalah untuk menunjukkan bahawa bukannya mereka (musuh-musuh Islam) tidak tahu bahawa Islam merupakan agama yang memelopori Sains dan Teknologi, akan tetapi kerana terdapat penyakit dalam hati yang tidak mahu mengiktiraf Islam sebagai agama yang membawa kebenaran dalam segenap keperluan hidup manusia.

Sikap menentang dan benci yang meluap-luap terhadap Islam sudah berakar umbi dalam hati sanubari manusia dan tidak mahu melakukan perubahan diri menerima bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui Allah SWT.

Mereka sedar untuk mengurangkan jumlah tentera Islam dalam satu-satu peperangan bukanlah semudah yang disangka. Justeru mereka beralih bentuk dan pendekatan untuk memerangi umat Islam, mereka mencipta pelbagai bahan rekaan permainan (game) yang boleh melekakan golongan remaja terutama yang beragama Islam, menaja pelbagai bentuk sukan yang boleh dilibat oleh remaja muslim walaupun tajaan itu daripada syarikat pengeluar minuman keras.

Musuh cari peluang rosakkan al-Azhar, al-Quran, Hari Jumaat dan Masjid al-Haram

Perkara di atas pernah disebut oleh seorang tokoh ulama terkenal, Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya 'Maza 'An as-Sohwat al-Islamiyyah fi 'Asr al-Hadis', di mana beliau ada menegaskan bahawa musuh-musuh Islam berusaha gigih bagi memastikan keempat-empat perkara di atas perlu dirosakkan dengan apa cara sekalipun.

Beliau mendedahkan bahawa musuh Islam menyatakan kesungguhan mereka untuk menghancurkan keempat-empat aspek di atas, bagi mereka jika keempat-empat aspek tersebut berjaya dilakukan, maka umat Islam berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Dr Abdullah beranggapan bahawa jika Universiti al-Azhar berjaya dirobohkan institusi pembelajarannya, pasti tidak akan wujud lagi sarjana, cendekiawan Muslim seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Mustafa Siba'ie dan Dr Abdul Halim Mahmud yang memiliki kekentalan jati diri, kefahaman Islam yang mendalam yang mampu mempengaruhi orang lain kepada Islam.

Ini kerana universiti berkenaan menjadi pusat pengajian antarabangsa yang menerima kehadiran dan kebanjiran graduan yang datang daripada seluruh dunia untuk mendalam ilmu-ilmu Islam, ada di antara mereka menjadi tokoh-tokoh negarawan yang berjaya seperti Presiden Maldives, Dr Abdul Qaiyum yang merupakan lulusan al-Azhar. Tidak kurang juga yang menjadi tokoh-tokoh hebat dalam gerakan Islam seperti Syeikh Saiyid Sabiq dan Syeikh Muhammad al-Ghazali.

Ringkasnya al-Azhar bagi mereka perlu dirobohkan, kalau tidak pun rosakkan sistem pembelajaran dan hubungan baik sedia ada terjalin di kalangan pelajar dan kakitangan universiti juga perlu dirosakkan, itulah yang telah mereka jalankan selama beberapa tahun.

Al-Quran

Al-Quran sebagai kitab panduan dan petunjuk kepada umat Islam seluruh dunia perlu dimasukkan di dalamnya unsur-unsur penyelewengan, pindaan agar ia tidak lagi menjadi rujukan dan bahan petunjuk kepada Muslim.

Ini mereka telah lakukan dengan pembiayaan jutaan dolar Amerika bagi mencetak 50,000 naskhah untuk diagihkan ke negara Somalia yang mengalami krisis kebuluran pada awal lan puluhan dahulu.

Penduduk Somalia yang kebanyakannya beragama Islam, mereka bukan sahaja diberi bantuan makanan, pada masa yang sama juga dibekalkan al-Quran yang telah dipinda ayat yang tidak diketahui mengenainya melainkan mereka yang mahir dengan al-Quran, tetapi Allah SWT tidak mahu kitab suci-Nya itu diseleweng, maka dilihamkan kepada para ulama membongkar kegiatan haram musah Islam.

Ia tidak lain adalah untuk menjauhkan orang Islam daripada kitab rujukan mereka yang bertindak sebagai pemberi hidayah daripada Allah SWT.

Hari Jumaat - Kebanyakan negara umat Islam tidak terkecuali daripada meneruskan kerja pada hari Jumaat, yang mengakibatkan ramai di kalangan muslim tidak mendapatkan sesuatu daripada penyampaian khutbah pada hari itu.

Masjid al-Haram - Rumah Allah ini juga menjadi sasaran pihak musuh kerana berjaya menyatu-padukan umat Islam seluruh khususnya ketika menjalani ibadat haji, usaha perlu dilakukan bagi merobohkan masjid berkenaan agar umat Islam terus berpecah dan tidak lagi bersatu padu.

-am-

Kalau Kau Jadi PM!

Kalau kau jadi perdana menteri..
apakah sekadar sebagai proksi..
kepada big mama the 1st lady..
yang tentu seronok sekali..
semakin tembam kembang berseri..

Jangan pula angkat sumpah..
dalam teruja dan meriah..
tersasul menyebut Altantuya..
merah padam muka big mama..
boleh gempa bumi di Putrajaya..

Tidak perlu lagi bersumpah-sumpah..
dari masjid ke pasar malam..
tentang C4 dan komisen kapal selam..
dan hantar saja Anwar sekeluarga..
sebagai duta sambilan ke Mongolia..

Kabinet baru tentu dipenuhi..
rakan sejati yang setia mengabdi..
pada big mama the first lady..
mesti terajang semua orang Paklah..
bersama legasi hadhari bida'ah..

Barangkali ada gentleman agreement..
dari peralihan kuasa terkejut..
untuk menjaga nasib anak menantu..
tetapi itu sekadar janji politik..
hantar saja mereka ke batu putih..

Tidak lupa para blogger..
guna ISA, akta hasutan atau apa saja..
buang mereka ke Kemunting..
ramai-ramai untuk temani RPK..
sebagai bukti kebebasan bersuara..

Kalau kau jadi perdana menteri..
bershopping sakan big mama seantero dunia..
biar sahaja negara tinggal tulang..
rakyat makan limpahan sisa-sisa kroni..
demi hidup Melayu, ketuanan dan DEB!!

-am-

Buat RaKaN YaNG DiKaSiHi..

aSSaLaMuaLaiKuM WRT WBT..
SeLaMaT BeRPuaSa..
SeLaMaT MeNJaLaNi iBaDaH SeHaRiaN..
SeLaMat MeNYaMBuT HaRi RaYa eiDuLFiTR 1429H..
MaaF aNDai TeRDaPaT SaLaH DaN SiLaP,
TeRKaSaR BaHaSa DaN PeRBuaTaN..

HaLaLKaN MaKaN MiNuM..
DaRi JauH Ku PoHoN MaaF..
MaaF ZaHiR & BaTiN.....

iKHLaS DaRi SaYa,
aHMaD TauFiQ HJ.MuSTaFa & Sekeluarga..

Tuesday, September 23, 2008

Yang di-Pertuan Agong atau parlimen?

Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi telah menolak cadangan Dato Seri Anwar agar diadakan satu persidangan khas parlimen untuk membahaskan perkembangan mutakhir politik negara.

Ini menunjukkan betapa sukarnya untuk memanggil sidang khas parlimen bagi membincangkan usul undi tidak percaya walaupun cara ini adalah demokratik dan berperlembagaan.

Budaya politik dan perundangan negara kita menyebabkan ia sukar berlaku.

Sistem politik negara kita adalah berteraskan sistem Westminster yang mana fungsi ketua negara terpisah daripada fungsi ketua kerajaan.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong lebih banyak memainkan peranan simbolik, Baginda sebenarnya berkuasa untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam situasi yang perlu.

Yang di-pertuan Agong dan politik

Para penasihat Anwar mungkin agak gusar jika beliau terus pergi mengadap Yang Di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan untuk membentuk kerajaan baru. Mereka mungkin tidak mahu Yang di-Pertuan Agong terlibat secara langsung dalam politik.

Para penasihat ini seolah-olah bimbang dan terlupa peranan penting Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga negara � satu perkara biasa dalam sistem Westminster yang kita amalkan. Dan ini tidak terhad kepada negara-negara yang mempunyai Raja (sistem monarki) sahaja.

Negara republik seperti India turut membolehkan ketua negaranya memainkan peranan dalam situasi luar biasa, walaupun biasanya ketua negara tersebut hanya memainkan peranan simbolik sahaja.

Peranan sebegini sebenarnya pernah diutarakan oleh Laporan Suruhanjaya Reid. Tetapi, oleh kerana ini merupakan kali pertama kita menghadapi situasi sebegini, kebimbangan mereka boleh difahami.

Bagaimanapun Anwar tidak menolak kemungkinan untuk pergi terus ke Istana. Oleh kerana Abdullah telah menolak cadangan agar diadakan sidang khas parlimen, Anwar kini mempunyai sebab untuk memohon mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Sistem perundangan kita tidak menyebut dengan jelas sama ada pertukaran kerajaan hanya boleh dibuat melalui parlimen. Artikel 43(4) dalam Perlembagaan memungkinkan pertukaran dibuat dengan cara majoriti ahli parlimen memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan sedia ada.

Ini akan mewajibkan Perdana Menteri meletak jawatan. Yang di-Pertuan Agong kemudiannya boleh melantik seorang ahli parlimen yang mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri baru.

Hujah salah

Pertukaran kerajaan melalui undi tidak percaya merupakan perkara yang pernah berlaku di negara-negara Komanwel lain. Tetapi ia amat sukar dilakukan di Malaysia kerana Umno menyekat sebarang usaha membentangkan usul undi tidak percaya.

Speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia mengatakan bahawa Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh untuk memutuskan sama ada mahu memanggil sidang khas parlimen atau tidak.

Rasanya Perlembagaan kita tidak bermaksud untuk memberi kuasa kepada Perdana Menteri membuat kata putus dalam hal ini.

Perdana Menteri merupakan ketua Eksekutif dan jika beliau mempunyai kuasa mutlak, maka ini seolah-olah meletakkan Legislatif di bawah Eksekutif. Pasti ini bertentangan dengan konsep pemisahan kuasa yang dituntut oleh sistem politik negara kita.

Selain itu, sukar dibayangkan sesebuah kerajaan akan bersetuju untuk memanggil sidang khas parlimen jika terdapat hal-hal yang mengancam penerusan hayat kerajaan tersebut. Hujah bahawa Perdana Menteri sahaja berkuasa memanggil parlimen adalah lemah.

Speaker Pandikar Amin Mulia ada juga memetik peraturan parlimen (Standing Orders) dalam membuat keputusan beliau. Tetapi peraturan parlimen dibentuk berasaskan peruntukan Perlembagaan Artikel 62(1). Peraturan ini statusnya lebih rendah daripada Perlembagaan.

Apabila Speaker menggunakan hujah peraturan parlimen, beliau seolah-oleh mengatakan bahawa peraturan tersebut lebih tinggi daripada Perlembagaan. Ini tidak betul.

Yang di-Pertuan Agong berhak untuk memanggil persidangan parlimen tergempar. Tidak mungkin apabila Baginda mempunyai kuasa memprorog dan membubarkan parlimen seperti termaktub dalam Artikel 55 Perlembagaan, Baginda tidak pula berhak memanggil parlimen bersidang. Artikel 40(2) pula merupakan satu artikel umum dan situasi sekarang lebih kelihatan sebagai satu pengecualian.

Yang di-Pertuan Agong memang mempunyai peranan dalam situasi sekarang. Ini bukan luar biasa kerana sistem yang kita amalkan kadang kala memang memerlukan tindakan-tindakan tertentu untuk membolehkan ia berfungsi dengan baik. Yang di-Pertuan Agong perlu memainkan peranan untuk memastikan Perlembagaan boleh terus terlaksana.

Yang pastinya, ini bukanlah penamat bagi Abdullah. Sekiranya Anwar berjaya membentuk kerajaan, Abdullah juga boleh mencabar Anwar dengan cara yang sama. Inilah sebabnya kenapa Abdullah perlu membenarkan sistem Westminster yang kita amalkan berfungsi seperti sewajarnya.

Anwar telah berjanji akan menghormati Perlembagaan. Maka mungkin langkah pertama yang perlu beliau usulkan ialah membolehkan Speaker dilantik melalui pengundian bebas. Parlimen kita akan menghampiri status parlimen kelas pertama jika Speaker yang dipilih ialah dari kalangan parti pembangkang.

Kuasa Agong atau kuasa parlimen?

Kembali kepada dua cara penukaran kerajaan tadi, iaitu sama ada melalui undi tidak percaya di parlimen atau melalui kuasa Yang di-Pertuan Agong, saya rasa kedua-duanya dibenarkan oleh kerangka Artikel 43(4) Perlembagaan kita.

Cara pertama iaitu pengundian di parlimen memanglah cara yang paling ideal dan lebih demokratik. Cara ini telah berlaku jika kita teliti kes Datuk Stephen Kalong Ningkan, bekas Ketua Menteri Sarawak, pada tahun 1966. Tetapi ini hanya boleh berlaku dalam satu sistem politik yang terbuka dan demokratik.

Bolehkah ia berlaku dalam situasi Malaysia sekarang? Kita boleh melihat dengan jelas betapa kerajaan Barisan Nasional berusaha sedaya upaya menghalang usul undi tidak percaya dibahaskan di Parlimen termasuklah dengan mengancam penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Cara kedua, iaitu melalui tindakan Yang di-Pertuan Agong, terhasil daripada pembacaan literal Artikel 43(4) bersama dengan Artikel 40(2)(a). Cara ini yang lebih cepat daripada cara pertama tadi.

Dan, oleh kerana terdapat unsur-unsur tidak demokratik dalam menghalang tercapainya cara pertama, maka mungkin cara kedua ini lebih praktikal.

Ia juga boleh menghalang kerajaan daripada terus menerus menyekat perubahan. Tetapi cara ini amat bergantung kepada kemahuan Yang di-Pertuan Agong untuk memainkan peranan yang lebih proaktif.

Mungkin wajar disebut di sini bahawa terdapat negara-negara demokrasi yang stabil di Eropah yang turut mengamalkan sistem monarki seperti kita.

Di luar Eropah pula, telah terdapat Raja yang secara aktif membantu lahirnya demokrasi di negara mereka. Inilah yang berlaku di Sepanyol, Thailand dan juga sedikit sebanyak di Jordan.

Adakah Raja-Raja kita juga mahu turut sama seperti Raja-Raja di negara-negara itu?

(Profesor Abdul Aziz Bari ialah Profesor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Artikel ini diterjemahkan daripada artikel asal beliau berbahasa Inggeris oleh WauBebas.org)

* sumber dari harakahdaily.net

Monday, September 22, 2008

Ketika....

1. KETIKA MENCARI CALON
Janganlah mencari isteri, tetapi carilah ibu bagi anak-anak kita..
Janganlah mencari suami, tetapi carilah ayah bagi anak-anak kita..

2. KETIKA MELAMAR
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah S.W.T melalui orang tua/wali si gadis..

3. KETIKA AKAD NIKAH
Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu, tetapi menikah di hadapan Allah S.W.T..

4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN
Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa'kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana mensia-siakan do'a mereka.

5. KETIKA MALAM PERTAMA
Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat..

6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA
Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri..

7. KETIKA BIDUK RUMAH TANGGA GOYANG
Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justru semakin erat berpegang tangan..

8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100%..

9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK
Jangan bagi cinta anda kepada (suami) isteri dan anak anda, tetapi cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%..

10.KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM
Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri..

11.KETIKA EKONOMI BERKEMBANG
Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita..

12.KETIKA ANDA ADALAH SUAMI
Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggung jawab apabila isteri memerlukan pertolongan anda..

13.KETIKA ANDA ADALAH ISTERI
Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan..

14.KETIKA MENDIDIK ANAK
Jangan pernah berfikir bahawa orang tua yang baik adalah orang tua yang tidak pernah marah kepada anak, kerana orang tua yang baik adalah orang tua yang jujur kepada anak..

15.KETIKA ANAK BERMASALAH
Yakinilah bahawa tidak ada seorang anakpun yang tidak mahu bekerjasama dengan orang tua, yang ada adalah anak yang merasa tidak didengar oleh orang tuanya..

16.KETIKA ADA PIL
Jangan diminum, cukuplah suami, isteri sebagai ubat..

17.KETIKA INGIN AMAN DAN HARMONIS
Gunakanlah formula 7 K ini..

1. Ketaqwaan
2. Kasih sayang
3. Kesetiaan
4. Komunikasi dialogis
5. Keterbukaan
6. Kejujuran
7. Kesabaran

InsyaAllah Keluarga bahagia.. Harmoni & Diredhoi Selamanya.. Amieenn...

-am-

Ihya' di malam-malam terakhir Ramadhan ...

Baginda Rasulullah s.a.w apabila masuk sepuluh malam terakhir (bulan Ramadan), baginda menghidupkan malam-malam tersebut dengan mengejutkan isterinya dan mengikat kainnya (menunjukkan kesungguhan baginda pada malam tersebut dengan menjauhkan diri daripada bersama isteri-isterinya).

Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Aishah r.a. sabda baginda s.a.w lagi yang bermaksud : Sesiapa yang bangun pada malam al-Qadr (beribadat) dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah SWT, maka dosa-dosanya yang telah lalu diampunkan oleh Allah SWT. (hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Kepentingan waktu malam dalam kamus Islam

Malam merupakan satu waktu yang hening dan penuh kedamaian, ia amat sesuai untuk dilakukan amal ibadat kerana pada waktu itu, ramai di kalangan manusia sedang tidur dan mungkin juga melakukan perkara-perkara yang tidak disukai Allah seperti menonton pertandingan bolasepak secara langsung dan sebagainya.

Mereka dengan sendirinya boleh terjaga dari tidur walaupun tidak mengunci jam loceng untuk bangun, tetapi masa untuk Allah agak liat dan sukar untuk dilakukan, sehingga mereka menzalimi diri kerana tidak sanggup melakukan ibadat walaupun hanya dua rakaat.

Justeru, Islam melihat waktu malam adalah penting, kerana peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam berlaku pada waktu malam seperti turunnya al-Quran pada malam al-Qadr, penghijrahan baginda Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah waktu malam, Israk Mikraj juga berlaku pada waktu malam, Qiyamullail waktu malam ia tidak berlaku pada waktu siang, kerana ia masa yang amat sesuai untuk mengadu nasib kepada Allah setelah penat bekerja pada siang hari.

Sesungguhnya Allah SWT memuji hamba-hambaNya yang sanggup bangun waktu malam semata-mata untuk beribadat, bermunajat kepada-Nya dan menjadikan waktu malam bagi menempah tempat di dalam Syurga-Nya, perkara ini disebut oleh Allah dalam ayat 16 surah as-Sajadah yang bermaksud: "Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya (mereka tidak tidur di waktu biasanya orang tidur, kerana melakukan sembahyang malam), sedang mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan rasa tahut dan penuh pengharapan."

Firman Allah lagi dalam ayat 17-18 menerusi surah az-Zariyat: "Mereka (orang-orang yang bertakwa) sedikit sekali tidur di waktu malam - Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.

Malam al-Qadr di sepuluh malam terakhir Ramadan

Jelas dari apa yang disebutkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam dua hadis di atas, membayangkan kepada kita tentang kesungguhan baginda untuk bangun malam beribadat dan bermunajat kepada Allah, sedangkan dosa-dosa baginda yang telah lalu dan akan datang diampunkan Allah SWT.

Bukan sahaja baginda melakukannya secara bersendirian, malah memastikan agar isteri dan ahli keluarganya juga tidak membiarkan waktu malam berlalu begitu sahaja tanpa melakukan aktiviti kerohanian sebagai jalan untuk menempah tempat dalam syurga.

Apatah lagi pada malam-malam terakhir Ramadan yang terdapat padanya malam al-Qadr.

Allah SWT sebut dalam al-Quran, bahawa malam al-Qadr adalah lebih baik dari 1000 bulan, iaitu kira-kira 83 tahun empat bulan, ini bermakna jika seseorang itu menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan solat fardu berjamaah, tarawih, membaca al-Quran, Qiyamullail menepati malam al-Qadr, maka dia akan meraih pahala sebanyak 83 tahun empat bulan, sedangkan umurnya mungkin baru mencecah 63 tahun, seolah-olah pahalanya tahun ini melebihi dua puluh tahun daripada umurnya, inilah yang dikatakan rahmat dan bonus setahun beribadat.

Kerana pada malam al-Qadr juga para malaikat dan malaikat Jibril turun dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan, tugas nalaikat pula ada yang mencatat segala amalan yang tidak akan dikurangkan atau ditambah dengan sewenang-wenangnya.

Tetapi mengapakah masih ramai lagi di kalangan umat Islam dalam negara kita tidak bersungguh untuk merebut peluang keemasan ini yang hanya dating setahun sekali?

Menurut para ulama, antara sebab mengapa mereka tidak mengisi malam-malam sepuluh terakhir Ramadan dengan amalan yang bermanfaat, kerana tidak memiliki iman yang kental, kurang membaca al-Quran, tidak berkawan dengan orang-orang yang bertakwa, orang-orang soleh, tidak istiqamah dalam mengamalkan amalan-amalan Islam, tidak memiliki ilmu pengetahuan yang cukup mengenai ajaran Islam sebenar.

Faktor yang memudahkan seseorang itu boleh bangun untuk berqiyamullail

Menurut Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, terdapat beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi melakukan solat di tengah malam seperti di bawah ini:

1. Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan yang dilakukan bagi meraih keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.

2. Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan dalaman, bahawa Allah SWT menjemputnya untuk bangun di tengah malam.

3. Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah malam berdasarkan pengajian dan perbincangan.

4. Memerhati kepada kesungguhan individu-individu terdahulu daripada kita yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamullail khususnya para solihin di kalngan para sahabat dan ulama.

5. Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu boleh bangun di tengah malam seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

6. Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan oleh Rasulullah; "Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan solat." Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra Bin Azib.

7. Bersegera masuk tidur (tidur di awal waktu) terutama lepas solat Isyak seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

8. Berzikir dengan wirid-wirid yang Ma'thur seperti Ma'thurat sebelum tidur, kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan Syaitan dan membantu untuk mudah bangun, atau ayat-ayat pilihan dari al-Quran, baca doa tidur, membaca tiga Qul dan sebagainya.

9. Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari yang dikenali sebagai 'Qailulah', iaitu sebelum masuk waktu Zohor atau selepasnya, ala kadar setengah jam.

10. Elak daripada banyak makan dan minum, kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.

11. Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa jua keadaan.

12. Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal-pasti sebagai penghalang pertama dan utama dari mudah untuk bangun di tengah malam.

13. Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekelian!

Qiyamullail adalah ibadat yang menghubungkan hati kita dengan Allah selain ia adalah sunnah muakkadah yang sangat dianjurkan oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda : "Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia merupakan kebiasaan kepada orang-orang soleh sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan kamu, ia juga penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh." Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi.

-am-

Mujahid: Pakatan hantar surat pada Agong

Pakatan Rakyat telah mengutuskan surat rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong beberapa hari lalu, memohon mengadap Seri Paduka, kata Ahli Parlimen PAS bagi Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dalam forum anti-ISA di Pulau Pinang malam tadi.

Jika Seri Paduka memberi perkenan, sepertimana yang diharapkan oleh pemimpinan Pakatan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyerahkan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya untuk meyakinkan Seri Paduka bahawa peralihan kuasa di Putrajaya tidak dapat dielakkan.

mujahid yusof rawaMujahid berkata, Pakatan bergantung kepada Seri Paduka untuk menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memanggil sidang khas Parlimen untuk berdepan dengan usul tidak percaya yang mahu dibentangkan oleh Pakatan.

Sambil melahirkan keyakinannya bahawa Seri Paduka akan campurtangan untuk menangani krisis politik sekarang, Mujahid berkata, pihak pembangkang dirangsang oleh campurtangan istana dalam menyelesaikan isu pelantikan menteri besar di Perak, Perlis dan Terengganu selepas pilihanraya umum Mac lalu.

Mengikut perlembagaan

Beliau berkata, keutamaan Pakatan ialah untuk menggunakan semua cara yang diperuntukkan dalam perlembagaan untuk memastikan peralihan kuasa berjalan dengan lancar.

Katanya, Pakatan tidak akan menggunakan cara yang tidak mengikut perlembagaan dan tidak demokratik tetapi akan terus menggunakan cara yan gdiperuntukan dalam perlembagaan untuk memastikan peralihan kuasa secara lancar.

Anwar mendakwa Pakatan mendapat sokongan majoriti daripada 222 ahli Parlimen (MP), termasuk yang MP Barisan yang didakwanya melompat menyertai pembangkang, bagi mengambil alih kerajaan.

Para pemimpin BN, termasuk perdana menteri, telah menyifatkan dakwaan Anwar itu sebagai satu pembohongan.

Setakat ini, usaha Pakatan untuk mengambil alih kuasa secara perlembagaan belum berhasil.

Abdullah juga enggan bertemu dengan Anwar untuk membincangkan peralihan kuasa. Beliau juga menolak permintaan pembangkang supaya memanggil sidang khas Parlimen bagi membentangkan usul tidak percaya terhadap kepimpinannya.

Oleh itu, kata Mujahid lagi, langkah seterusnya ialah Istana Negara dan Pakatan berhadap Seri Paduka akan campurtangan dan menasihatkan perdana menteri supaya memanggil sidang khas Parlimen.

Dengan cara itu, kata beliau yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, dapat membuktikan siapa yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

Sebelum itu, ketika bercakap di forum tersebut di Georgetown, Mujahid mendesak pemimpin BN, terutama dari Umno, bahawa mereka tidak akan memerintah untuk selama-lamanya.

isa 3 teresa raja petra tan hoon chengSebaliknya, kata beliau, BN harus menerima realiti politik dan bersedia menyerahkan kuasa kepada Pakatan.

Ekoran penahanan ahli Parlimen DAP, Teresa Kok, Raja Petra Kamarudin dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah ISA, pembangkang telah menganjurkan siri pertemuan dan majlis menyalakan lilin, untuk membantah undang-undang tersebut.

Pakatan juga turut mengambil peluang daripada pertemuan-pertemuan tersebut untuk mendapatkan sokongan badan-badan sivil dan rakyat untuk menrealisasikan usaha peralihan kuasa tersebut.

* sumber dari http://www.malaysiakini.com/news/90104

Badan peguam minta kerajaan bebas segera tahanan ISA

Badan Peguam Malaysia hari ini meminta kerajaan segera membebaskan dengan tanpa syarat semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Badan itu, dalam mesyuarat agung luar biasanya, yang dihadiri oleh 739 anggota, menerima resolusi yang menggesa pembebasan lebih 60 tahanan ISA serta lebih 2,000 tahanan yang ditahan mengikut pelbagai undang-undang pencegahan, sama ada dibebaskan atau didakwa di mahkamah.

"Terdapat banyak undang-undang yang dikaitkan dengan para tahanan ini dan jika pihak berkuasa mempunyai bukti terhadap mereka, dakwa mereka di mahkamah terbuka bagi membolehkan mereka mempertahankan diri," kata Presiden Badan Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan.

Beliau berkata badan itu mendesak kerajaan supaya segera memansuhkan ISA dan Ordinan Darurat 1969 dan Akta Dadah Berbahaya 1985, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Ambiga memberitahu pemberita bahawa mesyuarat itu juga sebulat suara mahukan kerajaan mendokong ikrarnya terhadap Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi mempromosikan dan melindungi hak asasi dan kebebasan asas serta menggalakkan kebebasan media.

Mesyuarat yang diadakan di Wisma MCA hari ini turut mengutuk surat tunjuk sebab kepada Sin Chew Daily, The Sun serta Suara Keadilan dan menggesa kerajaan menarik balik surat berkenaan dengan segera.

"Kebanyakan anggota berasa sangat bimbang dengan layanan yang diberikan kepada tahanan ISA di mana mereka berada dalam keadaan daif, diberikan makanan tidak sihat dan kurang berhubung dengan dunia luar," kata Ambiga.

Bekas presiden Sulaiman Abdullah berkata kerajaan sepatutnya mengambil kira pertimbangan mengenai cabaran dan trauma yang dihadapi anggota keluarga tahanan apabila mereka terpisah dengan orang yang disayangi selama lebih enam tahun.

"Sudah tiba masanya kerajaan memansuhkan ISA memandangkan ia boleh disalahgunakan terhadap mereka yang membantah kerajaan," katanya.

Seorang lagi bekas presiden, Kuthubul Zaman Bukhari berkata ini bukan pertama kali Badan Peguam Malaysia mendesak supaya ISA dimansuhkan dan akta itu tidak lagi sesuai dalam masyarakat masa kini.

Ditanya apakah tindakan badan itu selepas ini jika tidak mendapat maklumbalas yang memuaskan daripada kerajaan bagi memansuhkan ISA, Ambiga berkata tekanan akan dipertingkatkan terhadap kerajaan menerusi penggubal undang-undang yang dilantik serta sokongan oleh pertubuhan lain.

* sumber dari http://www.malaysiakini.com/news/90111

Saturday, September 20, 2008

Rebut peluang pengampunan di malam Lailatul Qadar

Ramadhan adalah bulan yang terbaik, penghulu segala bulan yang sama dengan hari Jumaat, penghulu segala hari.

Ia merupakan anugerah Allah S.W.T kepada insan muslim agar mengambil kesempatan daripada kedatangan Ramadhan dengan memperbanyakkan kerja taat kepada Allah S.W.T untuk memperolehi anugerah tambahan-Nya atau bonus agung-Nya dengan menjanjikan Lailatul Qadar yang biasanya akan jatuh pada salah satu daripada 10 malam terakhir.

Mungkin inilah yang disebut oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dalam satu hadith yang bermaksud:

"Alangkah hairannya, bagi orang yang dianugerahkan umur sehingga selesai satu Ramadhan tiba-tiba ia tidak mendapat keampunan daripada Allah S.W.T."

Keampunan itu merupakan satu anugerah yang dijanjikan kepada orang yang benar-benar menjadikan Ramadhan sebagai bulan ibadah khusus kerana Allah S.W.T. Di samping mengharapkan keampunan.

Nabi S.A.W juga pernah bersabda di dalam hadithnya:

"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala Allah S.W.T, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya."

Lebih khusus daripada itu, kita lihat kepada tarbiyah yang ditarbiyah Rasulullah S.A.W kepada umatnya menerusi satu hadith sahih.

Daripada Aishah R.A dengan pesannya"

"Wahai Aishah, sekiranya kamu ditemukan Allah S.W.T dengan malam Qadar, maka perbanyakkan doa memohon kepada Allah S.W.T yang ditentukan perkara yang hendak dicapai dalam doa itu ialah : Ya Allah! Kamulah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mulia, Ampunkanlah dosaku."

Tarbiyah yang dimaksudkan itu dengan meletakkan pengharapan yang begitu tinggi, agar kesalahan, ketelanjuran atau kesengajaan, Allah S.W.T akan terima pengampunannya pada 10 malam akhir Ramadhan, akan diampunkan dosa.

Jelas kelihatan bahawa yang amat perlu dipohon kepada Allah S.W.T ialah penghapusan dosa dan bukan kemanfatan duniawi seperti memohon kekayaan, kemenangan menghadapi musuh, kehebatan dalam kerjaya atau apa sahaja yang namanya hambatan dunia. Semuanya itu tidak penting berbanding dengan keampunan dosa.

Kerana jika diamati akan ternampak kehebatan pencapaian manusia dalam kehidupan ini bukannya kejayaan bersifat sementara. Kehebatan yang agak sementara, akan tetapi kehebatan Allah S.W.T dengan penghapusan dosa adalah suatu impian dan pencapaian yang begitu tinggi kerana itulah maka fokus utama setiap muslim ialah hari-hari akhir 10 malam ini.

Menjadi satu fokus ke arah meletakkan nilai diri insan yang semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T. Sekiranya matlamat keredhaan Allah S.W.T itu sudah dicapai, maka tercapailah kemuncak daripada tujuan sebenar manusia ini diciptakan Allah S.W.T yang akhirnya kepada Allah S.W.T sahaja tumpuan hidup semua makhluk bagi mendapat redha Allah S.W.T.

Janji-janji Allah S.W.T pada hamba-Nya

Ramadhan juga merupakan bulan muhasabah untuk kita melihat sekadar mana daya juang kita dalam menangani cabaran penghidupan khususnya cabaran untuk menanggung dan menyempurnakan amanah Allah S.W.T yang telah dipikulkan ke atas mereka suatu tugas untuk martabatkan agama Allah S.W.T melainkan dengan usaha berterusan mengharungi suatu perjuangan menentang segala halangan bagi meletakkan kegemilangan Islam di tengah penghidupan yang semakin mencabar.

Lebih-lebih lagi di hari-hari yang sedang kita lalui ini. Di mana umat Islam seolah-olah dijadikan mangsa kepada kegelojohan musuh-musuh Islam yang dari dulu mencari peluang untuk mengganyang umat Islam.

Suasana akhir-akhir ini, selepas tragedi 11 September 2001 seolah-olah menghalalkan untuk mengambil apa sahaja tindakan ke arah pengganyang umat ini dan sekaligus hendak membenarkan Islam itu dari terus wujud di maya pada ini.

Tetapi yakinilah wahai saudara yang seagama denganku bahawa Allah S.W.T telah menjanjikan suatu 'madah' yang akan menjadi perangsang untuk pejuang-pejuang Islam khasnya di akhir-akhir Ramadhan dengan ayat Allah S.W.T yang bermaksud :

"Mereka itu musuh-musuh kamu hendak menghapuskan cahaya Allah S.W.T, agama Islam dengan pelbagai usaha mereka tetapi Allah S.W.T tidak membiarkan mereka berbuat demikian, dan Dia (Allah S.W.T) akan menyempurnakan agama kamu dan memenangkan meskipun dibenci oleh orang-orang musyrikin."

Janji-janji seperti ini jelas diterangkan dalam al-Quran seperti dalam surah An Nur ayat 55 yang mafhumnya :

"Allah S.W.T berjanji dengan kamu yang beriman denganNya. akan diangkat mereka menjadi khalifah (pemerintah) seperti mana Allah S.W.T telah mengangkat angkatan-angkatan sebelum daripada angkatanmu pemerintah bumi Allah S.W.T dan pada ketika itu segala perkara huru hara yang berlaku akan digantikan dengan keamanan yang sebenar. Kamu menyembah Allah S.W.T tanpa menyekutuiNya. Dan sesiapa yang tidak percaya dengan janji sedemikian itu, mereka itu ialah orang-orang yang fasiq."

Oleh itu, maka Ramadhan yang bakal tinggalkan kita ini amat berguna lagi kalau diisinya dengan pengorbanan harta benda bagi membantu perjuangan sebagaimana lambang kewajipan fitrah yang diwajibkan kepada setiap individu yang hidup sepanjang Ramadhan hingga mencecah menemui awal Syawal.

Pun demikian keseluruhan umat Islam mengeluarkan kewajipan fitrah mereka pada beberapa hari terakhir Ramadhan. Hampir berlaku orang yang semata-mata sengaja tidak tunggu kedatangan syawal barulah hendak menunaikan kewajipan zakat fitrah.

Amalan mengawali membayar zakat fitrah adalah petunjuk kepada wujudnya ibadah 'maliyyah' walaupun sedikit tetapi seboleh-bolehnya pengorbanan harta ini dibuat sebanyak yang mungkin bagi mengejar ganjaran yang sebanyak mungkin, lebih-lebih lagi jika sekiranya pengorbanan harta itu dilakukan pada malam Qadar atau setidak-tidaknya berlaku dalam bulan Ramadhan.

Maka semuanya itu menyaksikan kita tergolong dalam golongan hamba-hamba Allah S.W.T yang cukup beruntung memanafaatkan kedatangan Ramadhan dengan amal-amal yang berguna untuk diri kita khususnya di saat kita menemui Allah S.W.T di hari akhirat nanti.

-am-

Buru keistimewaan tujuh golongan di sisi Allah

Baginda Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik khususnya dalam menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan dan contoh yang berjaya dalam melaksanakan tuntutan pelbagai jenis ibadat sebagai pengajaran kepada umatnya bagi mendapatkan tempat yang selesa di sisi Allah SWT pada hari kiamat.

Di mana terdapat tujuh jenis golongan manusia yang berjaya mendapat tempat di sisi Allah kerana melakukan amalan berdasarkan ilmu pengetahuan yang diwariskan oleh baginda kepada mereka.

Kejayaan mereka itu untuk beramal dengan amalan-amalan yang baik menurut syarak adalah disebabkan ketekunan mereka untuk bergaul dengan insan-insan yang memiliki budi pekerti yang baik, apatah hubungan yang intim dengan Allah SWT selaku Pencipta seluruh alam.

Perkara ini ada ditegaskan Allah menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud: "Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru kepada Tuhannya, sama ada di waktu pagi, tengahari, petang, senja dan malam dengan mengharapkan keridaan-Nya, janganlah kamu kedua matamu berlaing dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini, dan janganlah kamu menuruti orang yang telah Kami lalaikan hatinya daripada mengingati Kami serta menuruti hawa nafsunya, kerana sesungguhnya seluruh hidup mereka adalag melampaui batas (agama)."

Itulah jalan bagi memastikan kedudukan iman, pegangan serta kepercayaan terus utuh melalui persahabatan dengan orang-orang yang boleh mengingatkan kita kepada Allah SWT, bukan sekadar itu, malah mencemburui serta memburu tempat di akhirat seperti tujuh golongan yang terselamat daripada ditimpa panas terik matahari sejengkal di atas kepala.

Rasulullah s.a.w ada menegaskan mengenai tujuh golongan tersebut menerusi sabdanya yang bermaksud: "Tujuh golongan dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; mereka itu ialah: Pemerintah yang adil, remaja (lelaki atau perempuan) yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang digoda oleh seorang perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitiskan air matanya kerana mengingatkan sifat Mulia dan sifat Agung Allah." (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Jelas dari apa yang disabdakan oleh baginda dalam hadis tersebut di atas, memberitahu kita bahawa golongan yang disebut itu adalah mereka yang benar-benar melaksanakan tuntutan ajaran agama Islam dalam hidup mereka, justeru mereka dianugerahkan balasan yang baik dari Allah setimpal dengan apa yang telah disumbangkan untuk kebaikan Islam.

Bukan mudah untuk menjadi hamba Allah yang sanggup berkorban demi Allah dalam segenap tuntutan kehidupan, apatah lagi terpaksa berhadapan dengan ujian yang mesti dilalui seperti yang dialami oleh tujuh golongan di atas.

Apatah lagi kepada umat Muhammad masa kini yang tenggelam dalam banyak perkara yang tidak ada hubungan dengan nilai keagamaan, termasuklah gelagat dalam bulan Ramadan dan malam hari raya, mereka memperlihatkan betapa aspek agama perlu dipelihara pada waktu tertentu secara bermusim, sehingga tindakan mereka itu tidak menjadikan mereka mampu untuk menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Golongan yang ketujuh yang disebut oleh baginda Rasulullah dalam hadis di atas iaitu yang mengingati (berzikir) kepada Allah hingga menitiskan air mata bukan mudah untuk ditemui pada zaman ini, kerana manusia pada hari ini tidak memelihara sumber pemakanan yang diambil (hasil pendapatan), tidak mengendahkan pantang larang agama, halal dan haramnya sesuatu yang diperolehinya serta tidak mempedulikan nilai-nilai agama dalam kehidupan mereka, malah Islam dipinggirkan dalam hidup mereka.

Pendekatan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad mengenai nilai air mata

Sehubungan itu, Allah menjelaskan, menerusi ayat 109 surah al-Isra’ yang bermaksud : "Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangil dan mereka bertambah khusyuk."

Itulah sikap dan nilai orang-orang yang beriman sungguh-sungguh kepada Allah SWT, di mana mereka tidak akan mudah mengalirkan air mata melainkan apabila melihat Islam ditekan, diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh tangan-tangan pengkhianat agama, negara dan bangsa.

Keadaan ini amat berbeza sekali dengan orang Islam hari ini yang tidak peka atau prihatin dengan perkembangan semasa yang melibatkan undang-undang Islam yang masih tidak terlaksana dan mereka tidak sedih apatah lagi mengeluarkan air mata kerananya.

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda: "Seseorang itu tidak akan masuk neraka disebabkan dia menangis kerana takut kepada Allah." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w banyak memberi motivasi kepada umatnya dengan kata-kata hikmat (hadisnya) yang mampu mengalirkan air mata bagi golongan yang memiliki hati yang sejahtera daripada amalan syirik, nifaq dan menyanggah hukum Allah SWT, tetapi bagi mereka yang keras hatinya daripada amalan Islam, atau kosong daripada penghayatan agama, walau dibacakan ayat al-Quran kepada mereka, tetap tidak akan berganjak dan terus berada dalam kesesatan.

Allah SWT menegaskan dalam ayat 23 surah az-Zumar (39) maksudnya : "Maka apakah orang-orang yang dibuka Allah hatinya untuk menerima Islam lalu dia mendapat cahaya daripada Tuhannya sama dengan orang keras hati? Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya dari mengingati Allah, sesungguhnya mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata."

Jelas daripada ayat dan hadis di atas, menunjukkan bahawa nilai air mata yang menangis kerana takut kepada Allah SWT diganjari dengan pahala dan menyebabkan si pelakunya akan dimasukkan dalam syurga, begitulah sebaliknya jika seseorang itu yang menangis bukan kerana takut kepada Allah, maka dia akan dimasukkan dalam api neraka, malah air mata yang dialirkan itu akan menjadi saksi terhadap apa yang dilakukan selama hidup di dunia, sama ada air mata itu akan menjadi penolonga baginya atau sebaliknya.

Kesan air mata positif yang melayakkan masuk syurga Allah

Para ulama telah menggariskan beberapa pendekatan bagi memperolehi jalan untuk memastikan agar air mata yang mengalir itu adalah disebabkan takut kepada Allah SWT:

1. Bergaul dengan para solihin di kalangan orang-orang alim yang sering mengingatkan diri kepada Allah, serta merasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan agama-Nya yang semakin hari semakin tercemar dengan tindakan orang-orang Islam sendiri.

2. Memerhati alam sekeliling ciptaan Allah bagi membangkitkan diri daripada alpa kepada istiqamah dengan Islam dengan merasakan Allah Maha Agung dalam penciptaan-Nya.

3. Sentiasa melakukan muhasabah diri terhadap segenap kesalahan yang pernah dilakukan, ia tidak dapat dikesan melainkan duduk bersama dengan golongan ahli ilmu.

4. Mencari atau menyediakan persekitaran yang baik adalah salah satu kaedah untuk mampu menangis kerana takut kepada Allah.

5. Mencari contoh teladan yang baik lagi solih bagi mencerminkan diri kepadanya.

Sehubungan itu juga, Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyyah ada menegaskan, bahawa terdapat jenis tangisan yang berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain berdasarkan kefahaman serta penghayatan seseorang itu terhadap agamanya:-

1. Menangis kerana kasih sayang & kelembutan hati.

2. Menangis kerana rasa takut.

3. Menangis kerana cinta.

4. Menangis kerana gembira.

5. Menangis kerana menghadapi penderitaan.

6. Menangis kerana terlalu sedih.

7. Menangis kerana terasa hina dan lemah.

8. Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.

9. Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.

10. Menangis orang munafik - pura-pura menangis.

"..dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis." (AnNajm:43)

Jika semua perkara di atas dapat dilakukan, nescaya seseorang muslim itu berjaya menemui noktah penting bagi menjamin dirinya untuk terus menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Ibadat pada waktu malam

Sesungguhnya waktu malam adalah satu waktu yang disifatkan paling penting dan utama, bukan sahaja ia bersifat hening dan tenang, malah jauh dari sebarang rasa sikap untuk menunjuk-nunjuk ibadat yang dilakukan kepada orang lain.

Justeru peristiwa penting dalam sejarah Islam kebanyakannya berlaku pada waktu malam seperti peristiwa penurunan al-Quran malam al-Qadr, peristiwa penghijrahan baginda Rasulullah dan Abu Bakr, Israk Mikraj dan lain-lain.

Begitulah juga dengan Rasulullah s.a.w yang merupakan hamba maksum yang dijanjikan Allah syurga, tetapi baginda tetap mendirikan ibadat pada malam hari sehingga pecah-pecah kedua-dua telapak kakinya. Demikianlah gambaran hamba yang mampu bersyukur ke atas nikmat anugerah Allah kepadanya.

Hadis daripada Ali Said r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w ada bersabda: Barang siapa terjaga daripada tidur di waktu malam, dan mengejutkan keluarganya, lalu sembahyang dua rakaat, ditulis bagi mereka itu dalam golongan orang yang mengingati Allah lelaki dan perempuan - Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah.

Abdullah bin Salam menyatakan kata-kata yang mula-mula sekali beliau dengar daripada Rasulullah s.a.w. ialah sabdanya: Wahai manusia berilah salam, beri makan dan hubungkan silaturahim, dan sembahyang malam ketika orang ramai tidur, kamu semua masuk syurga dengan selamat sejahtera - Riwayat Tarmizi.

Sesungguhnya mendirikan ibadat di waktu malam itu amalan para salehin dan muqarrabin. Ia memberi kesan pada pembentukan peribadi, menyumbang kebahagiaan di dunia dan akhirat, menghindarkan penyakit, meraih ketenangan.

Rasulullah s.a.w. menggesa agar setiap orang melakukannya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak pernah meninggalkannya. Ketika sakit atau terasa malas, baginda sembahyang dalam keadaan duduk. - Riwayat Abu Daud.

-am-

Dua sebab kenapa umat Islam mundur

Apabila terdengar azan kita pasti mengetahui ia adalah panggilan solat. Tapi, saat darurat, azan dilaungkan sebagai panggilan jihad atau bagi memenuhi keperluan hajat masyarakat yang penting seperti hebahan mengenai kematian seseorang penduduk kampung.

Namun, mari tumpukan kepada azan sebagai seruan mendirikan solat. Ini kerana, tersebut dengan jelas dalam kalimah-kalimat yang tersusun itu seruan: 'Marilah menuju solat' dan diikuti seruan: 'Marilah menuju kejayaan'.

Jadi, sudah tentu 'lagu' dan 'lirik'nya diciptakan untuk solat. Dalam suatu hadis, tersebut kisah di mana para sahabat sedang bermesyuarat bersama Baginda Rasulullah s.a.w untuk memutuskan kaedah yang sesuai untuk menyeru Muslimin menunaikan solat di masjid.

Antara idea yang dibangkitkan ialah penggunaan loceng yang mirip kepada Nasrani serta tiupan serunai yang mirip kepada Yahudi dalam peribadatan mereka. Akhirnya, Bilal pun dipilih sebagai muazzin pertama yang melaungkan azan dari sebuah tempat yang tinggi.

Kaedah azan yang digunakan oleh Rasulullah dan para sahabat melalui mesyuarat mereka itu sebenarnya mengandungi rahsia besar tentang 'kejayaan', 'kemajuan', 'pembangunan' dan 'kemakmuran' atau apa-apa saja perkataan yang seangkatan makna dengan kebaikan.

Di sini, timbul suatu persoalan baru - yang mana tiba dahulu, atau apa perlu didahulukan? Adakah 'solat' atau 'kejayaan' diutamakan daripada sebarang pekerjaan yang membuahkan 'kejayaan'.

Ini kerana seruan menunaikan solat terlebih awal disebut, dan dikemudiankan seruan bagi menuju kejayaan (al-Falah). Kejayaan di sini, merangkumi aspek duniawi dan ukhrawi.

Pendek kata, kalau kita boleh meluruskan solat, tentulah kita boleh menempa, menempah tiket ke arah kejayaan itu. Tidak cuma menempah. Malah, jika kita lurus soal solat, sudah tentu kita berhasil menguruskan kejayaan kita itu. Ertinya, kita diberi kebolehan mencipta ruang dan peluang untuk berjaya.

Kejayaan ini tentunya tidak dapat dicapai melalui usaha seorang saja melainkan ia mesti dilakukan secara berkumpulan dan berjemaah. Oleh itu, solat yang dimaksudkan di sini ialah solat berjemaah dan bukan solat bersendirian.

Ini kerana, ruh daripada seruan azan tadi bermaksud panggilan kepada orang-ramai untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid, tempat di mana azan itu dilaungkan tadi.

Umum mengetahui bahawa maju dan mundurnya sesuatu bangsa bukanlah kerana bahasa bangsa lain. Bahasa bangsa lain tiada fungsi penting dalam menentukan maju mundurnya sesebuah bangsa. Bukannya bahasa Inggeris akan menyebabkan pelajar itu celik di dalam Matematik-Sains. Tapi, ia bermula dengan 'sikap' rajin, latihan mengulangkaji pelajaran.

Sikap malas dan rajin bekerja ini dipandukan oleh semangat dan motivasi. Semangat pula dibentuk daripada cara berfikir dan memandang sesuatu perkara secara positif.

Semua ini bakal diperolehi oleh seseorang Muslim itu lewat solat-solatnya sama ada yang fardhu atau sunat. Tetapi, dalam solat jemaahlah sikap-sikap yang mencerminkan mundur dan maju umat Islam ini semakin jelas kelihatan.

Maju dan mundur ini pula diukur melalui sikap pergerakan dalam solat berjemaah yang terbahagi kepada dua pergerakan. Pergerakan ke 'depan – belakang' dan 'kiri – kanan'.

Sebenarnya, ada banyak lagi sikap yang boleh menentukan maju mundurnya umat Islam. Tapi, dalam hubungan azan dan solat berjemaah ini, biarlah kita tumpukan kepada hal ini terlebih dulu. Gerakan ini timbul kerana wujudnya saf depan-belakang dan saf kiri-kanan.

Pergerakan ke depan bererti langkah kemajuan seseorang makmum (dipimpin) menuju ke tempat imam (pemimpin). Sementara, pergerakan kiri dan ke kanan adalah bertujuan bagi merapatkan ikatan perpaduan dan persaudaraan jika wujud ruang kosong di dalam saf itu.

Jadi, inilah dua sikap yang mendatangkan maju mundurnya sesuatu bangsa Muslim itu. Ia adalah sikap selalu bersedia menjadi pemimpin untuk memimpin umat dan sikap sentiasa berusaha merapatkan ikatan persaudaraan dan perpaduan sesama mereka.

Gerakan menuju ke saf depan apabila dilihat wujudnya kekosongan, adalah menunjukkan seseorang itu sentiasa mara ke depan. Apabila tiba masanya, jika dipelawa untuk menjadi imam, maka seseorang itu bersedia memimpin solat berjemaah pada bila-bila masa.

Apabila seseorang itu melihat di bahagian kiri dan kanannya kosong, maka dia akan terus merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya. Dia tidak akan pernah membiarkan saf itu kosong diisi syaitan dan membiarkan kekosongan diisi kekosongan. Yang menyebabkan seseorang itu rapat kepada saudaranya, ialah kerana dia ingin memenuhi kekosongan itu.

Seseorang yang terasa hidupnya penuh kekosongan dan kesepian, ia sebenarnya menagih pengisian untuk berbual, berbincang, bertukar fikiran. Semua ini menjelma sebagai bahan fikiran saya sejak Ramadan ini ketika menunaikan solat terawih.

Ada peristiwa lain yang tak kurang menariknya berhubung ikatan persaudaraan ini. Suatu ketika, diriwayatkan bahawa Hasan al-Banna pernah mengadili hal solat terawih. Sebelah pihak, ingin membuat 8 rakaat sementara pihak lain mahu 20 rakaat. Al-Banna kemudian memutuskan agar solat terawih itu dibatalkan. Mereka terkejut dengan keputusan itu.

Akhirnya al-Banna bertanya-apakah hukum solat terawih itu? Mereka menjawab ia sunat. Apabila ditanya apakah hukum perpaduan sesama Islam, mereka serentak menjawab, hal memelihara perpaduan umat Islam itu hukumnya fardhu.

"Jika demikian lebih baik tidak mengamalkan yang sunat demi memelihara yang fardhu," kata al-Banna. Perpaduan penting dijaga kerana ia menentukan maju mundur umat Islam.

Percakaran sesama mereka menyebabkan kemunduran. Di beberapa buah masjid jika kita sering menelitikan hal ini, jarak-jarak antara saf tidak dirapatkan. Di sebuah masjid yang pernah saya kunjungi, ada suatu sikap aneh pada jemaahnya.

Apabila saya merapatkan diri bagi menutup ruang antara saf itu, ahli jemaah itu bertindak menghindari saya. Kemudian, saya cuba merapatkan semula. Ternyata dia telah bertindak dengan cara yang sama dan sengaja membiarkan ruang kosong itu wujud.

Dalam renungan saya, dia mungkin mahukan keselesaan. Mungkin jika rapat, keselesaan itu tidak dirasai. Jika benar itu yang dimahukan, adakah keselesaan itu matlamat di dalam solat berjemaah? Setakat ini, hal itu berlaku di desa pendalaman sahaja. Masjid di bandar belum lagi saya melihat wujudnya jarak saf yang terlalu ketara jauhnya.

Pun begitu, ada hal lain yang perlu diberi tumpuan tentang saf kiri – kanan ini. Lihat cara VIP menunaikan solat jemaah ketika solat Jumaat. Kita lihat punca wujudnya jarak antara saf itu ialah kerana mereka punya sejadah masing-masing. Jadi ketika bersolat di sejadah, maka secara tak langsung akan wujudlah jarak. Jika tidak, mungkin jarak itu tidak wujud.

Seterusnya, sikap tidak mahu maju ke depan untuk memenuhkan saf di depan jikalau ada ruang kosong di depan mereka. Saya percaya, ada kalangan kita yang pernah menghadapi situasi ini. Iaitu, ahli jemaah itu akan berpura-pura seolah-olah dia tidak nampak ruangan kosong di depannya. Dia akan sentiasa menundukkan pandangannya.

Jika ada orang di saf depan mempelawa ahli jemaah itu mengisi kekosongan di saf depan, nescaya dia berpura-pura mengalihkan wajahnya ke belakang. Pada hemat saya, adalah wajar orang tersebut pergi ke hadapan kerana ruang kosong di saf depan itu memang betul-betul berada di hadapannya.

Jadi, demikianlah sedikit sebanyak dua perkara yang dapat dipelajari dalam solat jemaah. Islam tidak menutup ruang sesiapa pun untuk memimpin solat. Mungkin kita orang yang terkemudian. Tapi lama-kelamaan, ruang itu akan terbuka dan kita akan sentiasa menuju ke depan sehinggalah kita tiba di saf paling depan setelah ada ahli jemaah keluar saf.

Akhirnya, kita mungkin dipelawa untuk memimpin solat tersebut. Tapi, sebelum boleh memimpin itu, kita perlu merapatkan ikatan persaudaraan melalui saf kiri kanan terlebih dahulu, bersikap meraikan mana-mana ahli jemaah yang mahu ke depan jika ada ruang kosong di depannya. Jika dia pelawa kita memenuhi ruang kosong di saf depannya, kita janganlah bertangguh lagi untuk mara terus ke depan.

Saya menulis ini kerana berasa cemas dengan kepimpinan Dunia Islam pada hari ini. Kita ketandusan pemimpin sebenarnya. Semua itu kita boleh pelajari apabila kita mencermati solat jemaah. Saya tidak percaya Islam Hadhari boleh memimpin Dunia Islam hari ini. Kita ramai pemimpin, tapi kepimpinan itu tidak diikat dengan akhlak. Ringkasnya, kita banjir kepimpinan, tapi kemarau keteladanan.

Syahadan, jika tiada orang mahu ke depan, maka kita yang sedar ini patut maju ke depan. Ini bukan bererti kita sudah mantap. Tapi, bagai kata orang–tiada rotan akar pun berguna. Tetapi, setelah kita sedari pimpinan sebenar sudah tiba, maka jangan berebut kepimpinan dengan pimpinan itu pula.

Serahkanlah kepimpinan itu kepada yang berhak menerimanya pada waktu itu, sebab pada waktu itu dia telah ditakdirkan Tuhan untuk memimpin. Coretan ini diakhiri melalui kata-kata novelis Indonesia , Pramoedya Ananta Toer, yang mendalam dan bermakna dan diubah sedikit dengan ayat saya: "Betapa berbezanya bangsa Barat dan bangsa Hindia (Timur) ini. Di Barat, setiap orang berlumba membuat jasa lalu mendapat tempat dalam masyarakat, sesuai dengan sumbangannya itu.

"Tapi dalam bangsa Hindia (Timur), orang berasa cemas jika mereka tidak mendapat penghormatan, lalu mereka berlumba merebutkan tempat agar mendapat kedudukan dalam masyarakatnya."

Sikap berlumba merebut tempat dan kedudukan ini yang menghancurkan slogan 'Kepimpinan Melalui Teladan' selama ini. Kita tidak menderita kekurangan pemimpin. Tetapi, kita banjir dengan pemimpin yang kemarau dengan keteladanan dan akhlak sebagai contoh ikutan kepada rakyatnya.

Syahadan, dua sikap inilah (sentiasa ke depan dan merapatkan persaudaraan) yang perlu diterapkan sebagai sumbangan setiap Muslim yang peka dan prihatin ke atas maju mundurnya bangsa Muslimin. Iaitu, selalu bersedia ke depan sebagai pemimpin dan sentiasa mengukuhkan ikatan tali persaudaraan.

-am-

Rasional diterima Kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Malaysia

Rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang stabil dari segi politik, dengan jaminan keselamatan dan kesejahteraan ekonomi yang adil bagi semua kaum dalam negara.

Kewujudan sesebuah kerajaan, bukan sekadar ianya mempunyai bilangan ahli-ahli parlimen mencukupi, tetapi ia haruslah mempunyai ketua yang dihormati, disegani serta diyakini rakyat berbilang kaum dalam negara.

Keyakinan rakyat kepada sesebuah kerajaan berasaskan kepada jaminan dari sebarang ancaman keselamatan, kestabilan politik, kemampuan menyempurnakan ekonomi dan kebajikan rakyat, serta memastikan tidak wujud sebarang ketegangan di kalangan rakyat dari pelbagai agama dan kaum.

Persoalan yang timbul sekarang ini ialah, rakyat Malaysia semakin tidak yakin, kerajaan Barisan Nasional yang terdiri dari 14 anggota komponen parti, mampu menjadi sebuah kerajaan yang stabil dan adil.

ImageRakyat Malaysia juga semakin tidak yakin dengan kemampuan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang jelas tidak mampu menjadi seorang pemimpin yang dihormati serta disegani oleh rakyat dari kalangan berbilang kaum.

Rakyat Malaysia turut gelisah apabila BN gagal mewujudkan kestabilan politik dalam negara, gagal mengurus tadbir ekonomi negara dengan baik, malah cukup lemah dalam menangani polemik kaum walaupun sudah memerintah lebih daripada 50 tahun.

Hakikat ini menuntut Pakatan Rakyat yang diterajui Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan usul undi tidak percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen.

Pakatan Rakyat yang mempunyai bilangan 82 Ahli Parlimen (MP) terdiri daripada KeADILan, PAS dan DAP, serta hampir 40 orang Ahli Parlimen BN yang sedia untuk berhijrah, sudah bersedia membentuk kerajaan baru di peringkat Persekutuan.

Penolakan terhadap Abdullah Badawi

Kegagalan Abdullah Badawi dalam menguruskan partinya (Umno), perbalahan terbuka anggota komponen BN yang tiada kesudahan sehingga kini sudah sampai ke klimaks.

Apabila sebilangan besar rakyat tidak yakin dengan BN, maka amatlah wajar bagi wakil-wakil rakyat untuk akur dengan kehendak rakyat dengan menyertai Pakatan Rakyat.

ImageKetidakyakinan rakyat terhadap PM dan BN tidak harus dipersoalkan. Bukan setakat rakyat awam, malah yang paling teruk sekali Abdullah tidak mendapat kepercayaan dari kalangan anggota Umno sendiri.

Sejak berakhirnya PRU 8 Mac lepas, Abdullah terus didesak meletakkan jawatan sebagai PM dan Presiden Umno, oleh orang-orang Umno sendiri.

Walaupun Abdullah cuba mempertahankan kedudukannya dengan mengumumkan pelan peralihan kuasa pada Jun 2010, namun orang-orang Umno tidak mahu menerima cadangannya.

Malah cadangan Abdullah untuk kekal sepenggal lagi sebagai Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini turut ditolak ahli Umno.

Desakan supaya Abdullah berundur segera berlarutan sehingga mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam.

Walaupun secara 'politenya' dilaporkan MT meminta PM berundur lebih awal dari tarikh pelan peralihan kuasa, hakikatnya Umno sudah tidak boleh menerima lagi kepimpinan Abdullah Badawi.

Sebahagian besar orang-orang Umno mahu Abdullah berundur segera..sekarang, bukan pada suatu tarikh yang akan dibincangkan dengan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Masalah besar, tekanan hebat, ancaman politik terhadap Abdullah sebenarnya bukan datang daripada Pakatan Rakyat, ianya wujud dan bersarang daripada akar umbi Umno sendiri.

Tekanan terhadap Abdullah berterusan sehingga ke anggota komponen BN. Khususnya dari Sabah dan Sarawak yang tidak puashati. Malah anggota utama seperti MCA dan Gerakan secara terbuka mengkritik polisi-polisi politik, ekonomi dan sosial yang diamalkan oleh Abdullah.

Kata orang 'kut mana pun' Abdullah tetap akan jatuh juga, sama ada dia dijatuhkan secara 'polite' melalui peralihan kuasa yang disegerakan atau pun Kerajaan BN bertukar dengan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Nilai demokrasi sebenar

Perlembagaan negara membenarkan sesebuah kerajaan bertukar. Memang ada peruntukan dalam peraturan Parlimen bahawa seseorang PM tidak semestinya 'kebal', dia boleh diganti atau dijatuhkan jika mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Ini adalah langkah yang menepati proses demokrasi. Tidak timbul langsung ancaman keselamatan dalam hal ini.

Demokrasi bukan bermakna, sesebuah kerajaan hanya boleh ditukar sewaktu musim Pilihan Raya Umum sahaja. Pilihan raya hanya satu cabang dalam proses dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Apapun di Malaysia, rakyat tetap menyedari bahawa proses demokrasi berpilihan rayanya masih wujud banyak persoalan yang meragukan.

Walaupun 'lompat parti' diistilahkan sebagai langkah tidak bermoral oleh sesetengah pihak, namun ia tetap dibenarkan dalam proses demokrasi dalam negara.

Cumanya yang menghairankan, orang-orang politik tertentu yang terbukti buruk nilai moralnya, hari ini bercakap berdegar-degar soal prinsip dan moral.

Masalah dalam MP BN adalah seperti ibarat 'menaiki kapal yang hampir karam'. Kapal BN yang diterajui nakhoda Abdullah Badawi tidak mampu bertahan lagi.

Oleh itu, jika MP BN tidak melompat sekarang, mereka akan turut membawa rakyat karam bersama kapal BN.

Masalah yang besar di sini ialah, sebilangan besar MP 'hilang kepercayaan' terhadap PM dan BN itu sendiri.

Manifestasi daripada kemelut Umno/BN yang sarat dengan pelbagai krisis kepimpinan, korupsi (politik wang), kegagalan mewujudkan ketenteraman kaum (masalah yang ditimbulkan oleh Umno, yang dibantah oleh Gerakan dan MCA) serta kegagalan menstabilkan ekonomi, menyebabkan ramai MP BN sudah 'lost hope dan lost confident'.

Hilang keyakinan atau lost confident terhadap kepimpinan sesebuah parti yang memerintah merupakan salah satu daripada proses demokrasi yang dibenarkan dalam negara.

Bukan sahaja di Malaysia. Ianya dibenar dan diamalkan oleh semua negara yang berdaulat yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen.

Justeru tidak timbul sama sekali Anwar Ibrahim atau Pakatan Rakyat tamak kuasa kerana mahu menjatuhkan Kerajaan BN yang cara tidak bermoral sekarang.

Jauh sekali hendak melakukan sesuatu yang mengancam keselamatan negara. Tidak timbul sama sekali 'rampasan kuasa' seperti tindakan tentera di negara jiran Indonesia, Thailand atau Myanmar.

Anwar dan Pakatan Rakyat mengajak Abdullah dan BN supaya berhadapan dengan krisis ketidakpercayaan rakyat ini secara 'gentleman'.

Jaminan keselamatan negara, kestabilan politik, ekonomi dan sosial

Pakatan Rakyat tidak berhasrat untuk mengambil alih kuasa tanpa pelan perancangan yang teliti.

Fokus utama Pakatan ialah untuk meyatupadukan semua kaum dalam negara. Rakyat pada 8 Mac 2008 sudah memberikan signal jelas bahawa mereka mempercayai kemampuan Anwar dan menolak tohmahan yang bertujuan memecahbelah PAS dan DAP.

Politik berasaskan ras atau kaum sudah semakin tidak relevan di mata rakyat. Oleh sebab itu Umno gagal menjadi ketua kepada parti komponen BN yang boleh diterima.

Dalam pada rakyat sudah mula mengetepikan kepentingan bangsa dan puak, Umno sebaliknya dalam kempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh 26 Ogos lepas, terus memainkan sentimen perkauman. Politik sempit ini sudah tidak diterima rakyat.

Apabila semua kaum bersatu padu, ianya akan mewujudkan kestabilan politik yang akan menyelamatkan negara daripada sebarang ketegangan akibat perbalahan kaum. Rakyat tidak mahu Peristiwa 13 Mei 1969 berulang.

Kunci kepada penyatuan rakyat dari pelbagai kaum dan agama, mencakupi Sabah dan Sarawak ada pada Pakatan Rakyat.

Kemampuan Anwar untuk 'mendamaikan' PAS dan DAP yang berlainan ideologi, kemampuan beliau mengajak kaum bumiputera dari kalangan pelbagai agama di Sabah dan Sarawak, sukar untuk dilakukan oleh lain-lain pemimpin dalam negara.

Soal sesiapa suka atau tidak kepada Anwar itu soal lain. Recognition seperti ini tidak mudah diterima lain-lain pemimpin politik, sama ada dari BN atau Pakatan Rakyat.

Dalam sidang akhbarnya semalam, Anwar turut mengumumkan bahawa lebih USD1 trillion pelaburan asing menanti untuk memasuki pasaran negara jika politik, kehakiman negara, media, polis, peraturan Bank Negara diperbaiki.

Sebelum ini Pakatan Rakyat juga komited untuk merombak pengurusan sumber ekonomi negara, menstruktur semula sistem cukai dan menurunkan harga minyak.

Jika Pakatan Rakyat memerintah, kemasukan USD1 trillion pelaburan asing akan menjana aktiviti ekonomi yang aktif dalam negara, sekaligus membantu pertumbuhan ekonomi negara yang boleh membawa kesejahteraan kepada rakyat. Ini yang sebenarnya rakyat kehendaki.

Oleh itu Abdullah dan BN tidak boleh menuduh Anwar mensabotaj ekonomi negara. Jika mereka gagal menguruskan ekonomi dan tidak mempunyai karisma untuk menarik pelabur asing, itu bukan salah Anwar.

Anwar sering dituduh proksi Amerika dan Barat. Kesempatan sebagai 'proksi' Barat ini boleh diambil Anwar untuk menarik pelabur dari blok Barat.

Tetapi jangan lupa, Anwar juga 'agen' negara-negara Arab! Sebahagian besar rakan-rakan beliau adalah PM dan Menteri yang menjaga ekonomi di Arab Saudi, Qatar, Kuwait, UAE, Bahrin dan sebagainya.

Sudah tentu hubungan persahabatan dan kepercayaan negara Arab yang sering menjemput Anwar sebagai penasihat ekonomi mereka, merupakan kesempatan terbaik Anwar untuk menarik pelabur-pelabur asing daripada negara Arab.

Manakala di blok Timur pula, Anwar sering diundang untuk berucap dalam forum-forum ekonomi anjuran negara China, sama ada di Shanghai atau Hong Kong, malah di Singapura juga.

Selain bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak ramai rakyat Malaysia, berketurunan Melayu yang mendapat kepercayaan kuasa besar ekonomi China. Setakat ini Abdullah dan Najib, belum termasuk dalam senarai pemidato ekonomi.

Justeru kesimpulan daripada dakwaan sebagai proksi Barat, hubungan erat dengan negara Arab, serta keyakinan kuasa ekonomi China terhadap Anwar, ianya akan dapat membantu memulihkan ekonomi negara, jika beliau diberi mandat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Hakikatnya Pakatan Rakyat sudah bersedia memerintah negara dengan jaminan keselamatan negara, perpaduan kaum, kestabilan ekonomi dan keadilan sosial. Mari kita membantu menyegerakan!

* sumber dari harakahdaily.net

Thursday, September 18, 2008

Sebuah coretan dongeng di pagi Lailatul QADAR..

"Lepas basuh pinggan, ikut Abah pergi masjid," kata Abah separuh memerintah.
Aku memandang kepada Emak. Emak angguk sahaja. Maksudnya emak mahu aku ikut Abah solat subuh ke masjid. Jangan melawan. Nampaknya, aku kena batalkan niat untuk sambung tarik gebar selepas kenyang bersahur.

Aku bonceng di belakang. Kami tidak pakai helmet. Kopiah sahaja. Ganjil. Dalam cahaya suram menjelang subuh, aku lihat kubah masjid berada di tanah. Bukan di bumbung masjid. Ajaib. Abah macam tidak nampak keganjilan itu. Aku cuit bahu dia dan tunjukkan ke arah kubah yang berada di tanah. Mungkin kubah itu tengah sujud fikir aku.

"Kenapa?" tanya Abah.

"Lailatuqadar," kata aku dengan jari masih menunjuk kepada kubah.
"Kepala otak engkau. Berapa lama engkau tak ke masjid?"
Tidak pasal-pasal aku kena marah. Rosak pengalaman suci aku ini.
"Diorang tengah renovate masjid la. Bumbung masjid bocor.. pasal tu kubah tu dorg angkat letak kat tanah..Bodoh," sambung Abah memaki lagi.

Kalau emak ada di sini tentu dia angguk sahaja. Terima sahajalah. Jangan melawan. Kadang-kadang Abah lupa yang aku tidak duduk kampung lagi. Aku cuma pulang untuk cuti raya.

SELAMAT BERPUASA & SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

-am-

Wednesday, September 17, 2008

Panduan dan amalan bagi orang yang bertaubat

Imam Ghazali berkata: Jika seseorang yang bertaubat melakukan sesuatu perbuatan dosa, sama ada dilakukan dengan sengaja kerana dorongan syahwat atau dilakukan tanpa disengajakan, maka wajib baginya segera bertaubat, menyesali perbuatan tersebut dan berusaha menghapuskannya dengan melakukan kebaikan.

Seandainya jiwanya tidak membantunya untuk berazam meninggalkan perbuatan tersebut disebabkan penguasaan syahwat, maka yang demikian bererti bahawa ia telah lemah daripada melakukan salah satu daripada dua kewajiban.

Dengan demikian, tidak sepatutnya baginya meninggalkan kewajiban yang kedua, iaitu menghapuskan keburukan tersebut dengan melakukan kebaikan, yang dengannya ia telah menjadi orang yang melakukan amalan yang baik sebagai tampalan bagi amalan lain yang buruk.

Amalan-amalan baik yang dapat menghapuskan amalan-amalan buruk, sama ada dengan hati, dengan lidah atau pun dengan anggota badan. Dan hendaklah kebaikan tersebut pada tempat keburukan, dan pada yang berkaitan dengan sebab-sebabnya.

Amalan dengan hati, iaitu dengan memohon bersungguh-sungguh kepada Allah SWT agar Allah SWT mengampuni dan memaafkan, dengan penuh kerendahan hati, menghinakan diri seperti hinanya seorang hamba yang melarikan diri dengan menzahirkan kehinaan terhadap seluruh hamba Allah, iaitu dengan mengurangi kesombongannya dalam berhubungan dengan mereka, menyembunyikan kebaikan kepada sesama orang Islam dan berazam untuk taat.

Amalan dengan lisan iaitu dengan mengakui kezaliman (Kesalahan melakukan ma'siat) dengan membaca:

"Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku sendiri dan telah melakukan keburukan, maka ampunilah bagiku segala dosaku."

Di samping itu hendaklah beristighfar dengan membanyakkan pelbagai istighfar. Amalan dengan anggota badan pula adalah dengan melakukan ketaatan, membanyakkan bersedekah dan menekunkan diri dengan ibadat.

Di dalam athar, ada yang menunjukkan bahawa perbuatan dosa, jika diikuti oleh lapan perbuatan baik, maka harapan untuk dimaafkan adalah cerah, iaitu empat amalan hati dan empat amalan anggota badan.

Perbuatan yang merupakan amalan hati ialah:

Pertama: Bertaubat atau azam untuk bertaubat;

Kedua: Suka meninggalkan dosa;

Ketiga: Takutkan seksaan ke atas dirinya; dan

Keempat: Mengharapkan keampunan baginya.

Adapun yang merupakan amalan anggota badan ialah:

Pertama: Solat dua rakaat selepas melakukan dosa.

Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Bakr al-Siddiq r.a. bahawa beliau berkata:

"Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang hamba melakukan perbuatan dosa, kemudian ia mengelokkan wudu dan solat dua rakaat, kemudian meminta keampunan kepada Allah, melainkan Allah pasti akan mengampuni baginya, kemudian baginda SAW membaca ayat (Apabila mereka melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka mengingat Allah... dan seterusnya)".

Dalam riwayat Ibnu Murdawaihi dalam Tafsir dan Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman daripada hadis Ibnu Abbas r.a. pula mengatakan empat rakaat.

Kedua: selepas solat hendaklah membaca istighfar tujuhpuluh kali, kemudian membaca sebanyak seratus kali:

"Maha Suci Allah Yang Maha Agung dengan segala pujian bagiNya"

Ketiga: bersedekah; dan

Keempat: berpuasa sehari.

Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas'ud r.a. bahawa beliau berkata:

"Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya telah menggauli seorang perempuan di hujung kota Madinah, dan saya telah melakukan terhadapnya selain menyetubuhinya. Inilah saya, hukumlah ke atas diri saya apa yang Tuan hamba kehendaki.

Umar berkata kepadanya: Allah telah menutupi anda, jika anda menutupi diri anda sendiri.

Ia (Abdullah Bin Mas'ud) berkata: Nabi SAW tidak menjawab sesuatu, maka orang itu pun berdiri dan pergi. Nabi SAW menyuruh seseorang mengikutinya dan memanggilnya, dan membacakan kepadanya ayat ini(Tegakkanlah solat pada dua tepian siang dan pada waktu mendekati malam. Sesungguhnya kebaikan menghapuskan kejahatan. Yang demikian sebagai ingatan bagi orang-orang yang mahu beringat).

Maka salah seorang telah bertanya: Wahai Nabi Allah, adakah ini khusus baginya?

Baginda menjawab: "Bahkan bagi semua manusia."

Tirmizi dan Ahmad meriwayatkan daripada Mu'az Bin Jabal r.a. bahawa beliau berkata:

"Seorang lelaki telah mendatangi Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, apa kata tuan hamba mengenai seorang lelaki yang telah menemui seorang perempuan yang tidak dikenalinya, kemudian tidak ada sesuatu yang dilakukan oleh seseorang terhadap isterinya melainkan ia melakukannya terhadapnya, hanya sahaja ia tidak menjimaknya?"

Beliau (Mu'az) berkata: Maka Allah Azza Wa Jalla telah menurunkan ayat yang bermaksud(Tegakkanlah solat pada dua tepian siang dan pada waktu mendekati malam. Sesungguhnya kebaikan menghapuskan kejahatan).

Beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda kepadanya: Berwudu'lah, kemudian solat. Mu'az berkata: Aku bertanya: Wahai Rasulullah, adakah ia khusus baginya atau bagi kaum mukminin umumnya?"

Baginda bersabda: Bahkan bagi kaum mukminin umumnya".

Hadis tersebut menunjukkan bahawa menggauli perempuan, selain zina, termasuk dosa kecil yang terhapus oleh amal kebajikan.

Muslim dan Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Solat yang lima waktu, Jumaat ke Jumaat dan Ramadhan ke Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan di antara waktu-waktu tersebut, selama dihindari dosa-dosa besar".

Dalam keadaan bagaimanapun seseorang yang bertaubat mestilah menghisab dirinya setiap hari dan berusaha menghapuskan setiap dosa dengan hasanat.

Mengenai istighfar, bukanlah istighfar yang hanya dengan lisan, yang dianggap oleh sebahagian ulama sebagai taubat al-kadzdzabin (taubatnya para pendusta), yang berhajat kepada istighfar yang banyak, sebagaimana dikatakan oleh Rabi'at al-Adawiyah.

Tetapi yang dimaksud adalah istighfar yang disertai kesungguhan hati memohon keampunan kepada Allah SWT dengan merendahkan diri, dengan niat yang ikhlas dan keinginan yang benar.

Istighfar yang demikianlah yang boleh menghapus dosa kejahatan, dan istighfar itu pula yang dimaksud dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi daripada Abi Bakar r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

"Tidaklah dianggap sebagai orang yang berketetapan hati untuk terus mengerjakan (ma'siat) orang yang beristighfar, meskipun ia mengulangi dalam sehari tujuh puluh kali."

Tetapi, menurut pandangan Imam Ghazali, istighfar dengan lisan juga merupakan kebaikan, kerana gerakan lisan dengan istighfar, walaupun dengan kelalaian hati,adalah lebih baik daripada gerakan lisan dengan mengumpat atau bercakap lebih, bahkan baik daripada diam.Ia dianggap kurang jika dibandingkan dengan amalan hati.

Ketika seseorang berkata kepada gurunya, Syaikh Abi Uthman Al-Maghrabi: Lidahku sering berzikir dan membaca Qur'an, sedang hatiku dalam keadaan lalai.

Beliau menjawab: Bersyukurlah anda kepada Allah, kerana Allah menggunakan salah satu anggota anda dalam kebaikan dan membiasakannya berzikir, dan tidak menggunakannya dalam keburukan dan tidak membiasakannya dalam bercakap lebih.

Imam Ghazali menyatakan bahawa apa yang dikatakan oleh beliau adalah benar. Sesungguhnya membiasakan anggota-anggota badan dalam kebaikan sehingga menjadi seperti tabiat baginya boleh mencegah sejumlah ma'siat.

Orang yang membiasakan lidahnya beristighfar, apabila mendengar kedustaan daripada seseorang maka lidahnya beristighfar, apabila mendengar kedustaan daripada seseorang, maka lidahnya akan segera mengatakan: AstaghfiruLlah.

Tetapi orang yang membiasakan cakap lebih, lidahnya akan segera mengatakan: Alangkah bodohnya anda, alangkah buruknya kedustaan anda.

Orang yang membiasakan isti'adzah, apabila diceritakan tentang kemunculan gejala-gejala buruk daripada seorang yang jahat, lidahnya akan segera mengatakan: Na'udzu biLlah.

Tetapi orang yang membiasakan cakap lebih, lidahnya akan segera mengatakan: Semoga Allah melaknatnya.

Antara kedua ucapan tersebut terdapat perbezaan. Yang pertama memperoleh kebaikan sebagai kesan membiasakan lidahnya dalam kebaikan, sedang yang kedua sebaliknya.

Mengenai ucapan Rabi'at al-Adawiyah bahawa istighfar kami berhajat kepada istighfar yang banyak, janganlah disangka bahawa beliau mencela gerakan lisan dari segi bahawa ia adalah dzikrullah, tetapi beliau mencela kelalaian hati, dan kelalaian hati inilah yang berhajat kepada istighfar yang banyak. Kerana, seandainya lidahnya diam, maka ia berhajat kepada lebih banyak istighfar lagi.

-am-

Anwar mahu jumpa PM, mengadap YDP Agong untuk bentuk kerajaan

PETALING JAYA, 16 Sept (Hrkh) - Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menunggu jawapan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk diadakan pertemuan dengan Pakatan Rakyat secepat mungkin bagi memastikan peralihan kuasa berlaku secara aman dan demokratik.

Anwar berkata dalam pertemuan itu, beliau akan mengemukakan senarai nama-nama Ahli Parlimen Barisan Nasional yang telahpun memberikan komitmen untuk bersama-sama membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat.

Tegasnya, selepas bertemu dengan Perdana Menteri, Pakatan Rakyat akan memohon untuk mengadap Yang Di-Pertuan Agong bagi mendapat mandat penubuhan kerajaan baru.

Semua proses ini katanya, walaupun melepasi 16 September, namun ianya harus dilakukan secara teratur, aman dan demokratik menurut lunas-lunas Perlembagaan Negara.

ImageKatanya, beliau memberikan masa kepada PM beberapa hari ini untuk membuat keputusan bertemu dengan Pakatan Rakyat seberapa segera.

"Saya fikir PM tiada sebab untuk tidak bertemu dengan kami (Pakatan Rakyat)," katanya.

Anwar menegaskan demikian dalam sidang akhbarnya di Ibu Pejabat Parti KeADILan Rakyat dekat sini. Antara pemimpin yang hadir ialah, Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar, AJK DAP Pusat, Tan Kok Wai.

ImageMenurut Anwar setakat ini jumlah Ahli Parlimen yang diperlukan melebihi 31 orang dan jumlah yang memberikan komitmen mereka bertambah dari masa ke semasa.

"Ini bukan omong kosong. Kita ada jumlah yang mencukupi. Kita sudah bersedia untuk melakukannya," kata beliau.

Selain itu beliau turut menegaskan jika selepas beberapa hari, tidak ada respons, pemimpin Pakatan akan bertemu dan menentukan tindakan selanjutnya," katanya.

Menjawab soalan wartawan, Anwar tidak menafikan antaranya adalah yang berjawatan Menteri, Timbalan Menteri serta lain-lain pemegang jawatan utama dari pelbagai parti.

Walaupun diasak pelbagai desakan wartawan meminta beliau mengemukakan senarai tersebut, Anwar bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana bimbang ahli-ahli parlimen tersebut akan diugut.

Katanya, apa yang penting Perdana Menteri harus memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan ISA dan sebarang bentuk sekatan kepada perubahan kerajaan.

Semalam, wakil dari Pakatan Rakyat telah menghantar surat kepada Abdullah untuk mengadakan pertemuan.

Anwar berkata, mereka memberi masa kepada perdana menteri untuk berbincang dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menerima kehendak rakyat.

"Saya percaya beliau akan bertemu dan kita perlu menunggu hari ini atau esok," kata Anwar

Anwar turut berkata masa yang cukup perlu diberikan kepada Abdullah kerana Presiden Umno itu kini merupakan ahli politik yang kini dalam keadaan genting.

"Jadi, anda harus memaafkan beliau kerana beliau dalam keadan terdesak," katanya.

* sumber dari harakahdaily.net

Penghijrahan Ahli Parlimen adalah proses demokrasi

Majlis Peguam, Harris Ibrahim dan Sean Ang dilaporkan dalam New Straits Times pada 10 September 2008 sebagai berkata Ahli-Ahli Parlimen yang mahu berhijrah ke parti lain adalah sah di sisi undang-undang, tetapi tidak bermoral.

Menjawab perkara ini, adalah perlu untuk menarik perhatian kepada beberapa prinsip-prinsip asas menyentuh persoalan moraliti penghijrahan MP-MP:

1) Penghijrahan ke sebuah parti politik lain sebagai seorang MP bukanlah sesuatu yang baru dalam demokrasi berparlimen. Sekiranya MP terbabit berhijrah bukan atas dasar kepentingan diri, tetapi atas nama kepentingan penduduk yang diwakilinya, maka tindakan beliau itu harus dipuji.

2) Terdapat dua jenis sistem pilihan raya yang utama dalam dunia demokrasi:

Pertama ialah sistem constituency-based . Melalui sistem ini, para pengundi di kawasan setempat atau kerusi melantik seorang calon individu. Calon yang menang undi majoriti di kerusi-kerusi mereka dilantik sebagai Ahli Parlimen.

Parti yang mendapat jumlah kerusi terbanyak membentuk kerajaan. Dalam sistem ini, MP-MP berkenaan yang menduduki kerusi, bukan parti. Ini bermaksud, MP boleh berhijrah dan masih mengekalkan kerusinya.

Kedua ialah sistem proportional representation. Melalui sistem ini, para pengundi di suatu kawasan yang luas, misalannya, sebuah daerah atau negeri mengundi untuk parti-parti politik. Parti politik yang berkenaan memilih individu yang akan menjadi MP.

Setiap parti diperuntukkan jumlah kerusi mengikut jumlah undi yang diterima dalam Pilihan raya Umum. Melalui sistem ini, kerusi tersebut milik parti dan MP yang melompat terpaksa meninggalkan kerusi yang dimenanginya.

Sistem pilihan raya yang digunakan di Malaysia adalah sistem constituency-based. Sistem constituency-based menyediakan wadah untuk individu, bukan sahaja parti politik, untuk menjadi calon pilihan raya ke Dewan Rakyat. Ini ditonjolkan dengan jelas, apabila calon Bebas yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik, dibenarkan bertanding.

Lantaran itu, tiket parti adalah permuafakan calon-calon individu yang menganut dasar atau ideologi yang sama. Pokoknya, para pengundi memilih calon berdasarkan dasar beliau, kemampuan beliau, dan komitmen beliau.

3) Hujah tiket parti juga gagal memberi kesan kepada peruntukan Artikel 43(1) dan 43(4) Perlembagaan Persekutuan. Artikel 43(1) memberi kuasa kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri yang pada pertimbangan baginda mewakili keyakinan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Artikel 43(4) memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk membubarkan kabinet beliau sekiranya dia tidak lagi mewakili keyakinan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Berdasarkan dua peruntukan ini, secara langsung menjelaskan bahawa sistem dan operasi pilihanraya negara, bahawa para pengundi memberi mandat kepada 222 anggota Parlimen untuk menentukan siapa di kalangan mereka yang layak menjadi Perdana Menteri.

Tempoh khidmat 222 MP ini dan kuasa mereka telah ditetapkan. Ia berlanjutan sehingga Pilihan raya Umum seterusnya tiba.

Tempoh khidmat Perdana Menteri bagaimanapun tidak ditetapkan dan tidak boleh tidak disanggah. Ia bergantung kepada sejauh mana keyakinan 222 MP kepada Perdana Menteri sepanjang tempoh Parlimen.

Dalam erti kata lain, keyakinan terhadap Perdana Menteri boleh sahaja terhakis dan berubah. Ini bergantung kepada pelbagai faktor termasuk apakah Perdana Menteri tidak berkemampuan, lemah, atau gagal menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan rakyat, atau gagal melaksanakan dasar-dasar, atau tidak lagi mewakili keyakinan rakyat, atau terdapatnya perubahan pendapat di kalangan orang-orang awam berkenaan pentadbiran Perdana Menteri.

Kuasa untuk menyingkirkan Perdana Menteri termasuk, serta memerlukan, anggota-anggota Parlimen berhijrah. Pilihan untuk berhijrah ini adalah untuk memastikan hanya Perdana Menteri yang berkemampuan sahaja berkhidmat sehingga pembubaran Parlimen.

Demikian itu, adalah menjadi tanggungjawab moral MP berkenaan untuk melompat sekiranya ia dilihat perlu bagi memastikan Perdana Menteri yang lemah tidak mentadbir negara ini.

Lantaran itu, hak anggota Parlimen untuk berhijrah ke wadah yang dipercayai, seraya membawa kepada kejatuhan sesebuah kerajaan, adalah jelmaan hasrat rakyat.

4) Penghijrahan membuka ruang kepada demokrasi, dan mendesak kepimpinan negara supaya lebih sensitif kepada hasrat masyarakat semasa Parlimen berlangsung.

Sekiranya tidak, pihak Eksekutif akan bertukar kepada rejim autokratik, yang tidak kenal erti takut, kerana sedar bahawa ia tidak perlu bertanggungjawab kepada naluri rakyat sehinggalah PRU tiba - lima tahun kemudian.

William Leong Jee Keen,

Ahli Parlimen Selayang,
Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat.

* sumber dari harakahdaily.net